Ini petua menguruskan kewangan sewaktu pandemik COVID-19

Ekonomi Md Wa'iz
Pendapat
Ini petua menguruskan kewangan sewaktu pandemik COVID-19
Ini petua menguruskan kewangan sewaktu pandemik COVID-19 © Holger Kleine | Dreamstime.com

Ketika pandemik COVID-19 masih lagi menguasai dunia sehingga hari ini, ramai daripada kita yang terkesan daripada segi ekonomi. Namun, sekiranya kita mengetahui cara menguruskan kewangan dengan baik, kita pasti dapat mengharungi pandemik ini dengan berjaya.

Kami kongsikan di sini beberapa petua menguruskan kewangan semasa pandemik koronavirus COVID-19.

Lima cara menguruskan kewangan semasa pandemik

Tidak dinafikan, kesan daripada penularan virus COVID-19 ini, banyak sektor ekonomi telah terkesan dengannya. Akibat daripada sekatan penerbangan dan kawalan pergerakan, ramai yang kehilangan pekerjaan.

Antara sektor ekonomi yang terjejas teruk ialah seperti pelancongan, penerbangan, dan perhotelan. Bukan itu sahaja, sektor ekonomi kecil dan sederhana juga turut mengalami kesan yang sama.

Sama ada sudah terkesan atau beum lagi terkesan, anda boleh mengikuti petua menguruskan kewangan ini.

1. Buat simpanan wang kecemasan

Anda disarankan untuk membuat simpanan wang sekurang-kurangnya dengan nilai tiga bulan gaji anda. Jika berkemampuan, buatlah simpanan untuk enam bulan gaji.

Ini untuk memastikan kelangsungan hidup anda sekiranya anda diberhentikan kerja atau perniagaan anda kurang mendapat sambutan.

2. Lihat pakej yang ditawarkan kerajaan

Jika pihak kerajaan ada menawarkan pelbagai pakej-pakej bantuan bersasar, sila lihat kepada syarat dan kelayakannya. Jika anda layak untuk memohon dan mendapatkan bantuan tersebut, mohonlah sebanyak mungkin pakej bantuan yang diperlukan oleh anda.

Cara ini sedikit sebanyak boleh membantu mengurangkan beban kewangan anda setiap bulan.

3. Hubungi pihak bank untuk mendapatkan kemudahan

Mungkin tidak ramai yang mengetahui bahawa pihak bank juga banyak menyediakan kemudahan kepada penggunanya. Bantuan ini banyak diberikan terutamanya bagi mereka yang menggunakan servis pinjaman.

Buat masa sekarang, pihak bank masih lagi memberikan kelonggaran bayaran balik pinjaman untuk para peminjam. Bukan hanya untuk pinjaman sewa beli kenderaan sahaja, tetapi juga jenis-jenis pinjaman lain.

Hubungi wakil bank anda untuk mendapatkan kepastian.

4. Elakkan terperangkap dalam jerat scammer

Jangan anda lupa, golongan scammer juga masih giat memburu mangsa mereka yang seterusnya walaupun pada musim pandemik. Apatah lagi, kini banyak transaksi hanya dilakukan secara dalam talian , maka lebih mudah bagi golongan scammer ini mencari mangsa.

Sekiranya anda menerima panggilan telefon yang meminta anda untuk memindahkan sejumlah wang, sila abaikan panggilan tersebut dan matikan telefon dengan segera.

Jika anda ada menerima pautan ke laman web yang dicurigai, sila abaikannya sahaja.

5. Berbelanja dengan berhemah

Memandangkan ramai daripada kita hanya berada di rumah pada kebanyakan masa, pastinya kos perbelanjaan juga akan semakin meningkat. Itu tidak termasuk perbelanjaan secara online dengan menggunakan aplikasi dalam telefon pintar masing-masing.

Berjimat cermat ketika berbelanja adalah salah satu daripada cara menguruskan kewangan yang baik.

Gunakan nisbah 50:30:20 setiap kali anda menerima wang gaji anda. Gunakan 50% wang gaji untuk perbelanjaan keperluan, 30% untuk kehendak diri sendiri dan 20% untuk simpanan bulanan.

Menguruskan kewangan adalah sangat penting sewaktu pandemik

Siapa sahaja yang tidak mahu membeli barang-barang yang menjadi keinginannya sejak sekian lama. Namun, pada saat ketidaktentuan keadaan ekonomi ini, banyakkan simpanan daripada perbelanjaan.

Ini kerana kita tidak mengetahui apa yang akan berlaku kepada kita kelak. Utamakanlah keperluan melebihi kehendak anda.