Ini sebabnya Islam haramkan aktiviti monopoli perdagangan!

Ekonomi Md Wa'iz
Md Wa'iz
Ini sebabnya Islam haramkan aktiviti monopoli perdagangan!
Ini sebabnya Islam haramkan aktiviti monopoli perdagangan! © Andrii Yalanskyi | Dreamstime.com

Kita pasti pernah mendengar kes-kes menyorok barang jualan dengan tujuan menaikkan harganya kepada harga yang lebih tinggi. Kes seperti ini adalah contoh monopoli perdagangan yang diharamkan dalam Islam.

Kenapa Islam mengharamkan amalan monopoli?

Maksud monopoli perdagangan atau barangan

Monopoli adalah satu tindakan atau amalan menyorokkan barangan tertentu dengan tujuan untuk menaikkan harganya. Biasanya, monopoli perdagangan atau barangan ini melibatkan barangan keperluan pengguna seperti minyak masak, beras, tepung, gula, gas memasak dan sebagainya.

Mereka yang melakukan amalan monopoli ini akan menyorokkan stok barangan dan menaikkan harganya sebelum dijual kembali sedikit demi sedikit.

Pandangan ulama mengenai amalan monopoli perdagangan

Dalam Islam, amalan monopoli perdagangan ini disebut sebagai Al-Ihtikar. Imam Al-Ghazali menyatakan maksud Al-Ihtikar ini sebagai penjual barangan yang menyimpan barang jualannya untuk menunggu kenaikan harga.

Imam Nawawi pula menyatakan maksud Al-Ihtikar sebagai penjual yang membeli makanan pada harga yang tinggi untuk diniagakan, namun disorokkan agar makanan tersebut dapat dijual kembali dengan harga yang lebih tinggi.

Manakala imam Al-Baji pula menyatakan bahawa amalan monopoli bermaksud amalan menyimpan barang yang dibeli dan mendapatkan untung berdasarkan turun naik harga barangan tersebut di pasaran.

Hukum Islam mengenai amalan monopoli

Terdapat satu hadis Nabi yang menerangkan mengenai hukum monopoli dalam Islam. Rasulullah SAW telah bersabda:

“Monopoli itu hanya dilakukan oleh orang yang bersalah.”

(Hadis riwayat Muslim)

Antara sebab mengapa monopoli perdagangan ini diharamkan ialah kerana sifatnya yang memanipulasikan pasaran dan menindas pengguna. Amalan ini memberikan banyak kemudaratan kepada para pengguna apatah lagi jika ia melibatkan makanan asasi manusia.

Bayangkan dalam satu situasi di mana berlakunya permintaan yang tinggi terhadap beras.  Namun, penjual menyorokkannya dan menunggu sehingga harganya meningkat berlipat kali ganda. Di sini telah berlaku satu penindasan kerana penjual telah menyorokkan makanan yang menjadi makanan utama manusia demi kepentingan perniagaannya semata-mata.

Jadilah peniaga yang jujur dan bertanggungjawab

Apabila kita berniaga, keuntungan perniagaan sememangnya amat penting. Namun, pastikan kita tidak melakukan sebarang perkara haram ketika melaksanakan perniagaan.

Jangan mementingkan keuntungan semata-mata dengan mengabaikan tanggungjawab kepada masyarakat. Sekiranya kita melakukan amalan yang haram seperti penipuan dan monopopi perdagangan, kita telah mengambil hak orang lain secara tidak sah.

Ingatlah pengajaran daripada hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:

“Sesungguhnya para peniaga itu akan dibangkitkan pada hari Kiamat kelak sebagai orang jahat, kecuali bagi mereka yang bertaqwa, berbuat baik dan bersifat benar.”

Perniagaan yang halal akan diberkati oleh Allah Taala, manakala perniagaan yang haram akan dimurkai dan dicerca oleh-Nya.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.