Ini tiga cara mengerjakan haji yang kita semua perlu tahu

Haji Md Wa'iz
Terkini oleh Md Wa'iz
Ini tiga cara mengerjakan haji yang kita semua perlu tahu
Ini tiga cara mengerjakan haji yang kita semua perlu tahu © Laarow | Dreamstime.com

Haji merupakan salah satu kefarduan yang wajib ke atas orang Islam yang berkemampuan. Ia adalah Rukun Islam yang kelima. Tahukah anda, terdapat tiga kaedah atau cara mengerjakan haji? Apakah kaedah tersebut?

Maksud ibadat haji

Daripada segi bahasa, haji bermaksud mengunjungi sesuatu tempat. Daripada segi istilahnya pula, ia bermaksud satu ibadah mengunjungi Baitullah iaitu Kaabah pada masa-masa tertentu, dan melakukan perkara atau ibadat tertentu.

Haji merupakan satu kewajipan ke atas seluruh umat Islam tidak kira lelaki atau perempuan sekiranya berkemampuan. Ia wajib dilakukan sekali seumur hidup dan sunat hukumnya jika dilaksanakan lebih daripada itu.

Dalil pensyariatan ibadah haji

Dalam al-Quran, Allah Taala telah menyatakan dengan jelas pensyariatan ibadah haji ke atas orang Islam yang berkemampuan. Allah ada menyebut, dengan maksud:

“Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; di antaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia. Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.”

(Al-Quran, surah al-i Imran, ayat 97)

Cara mengerjakan haji 

Terdapat tiga kaedah atau cara mengerjakan haji yang kita perlu tah. Cara mengerjakan haji itu ialah Haji Tamattuk, Haji Ifrad dan Haji Qiran. Apakah perbezaan antara ketiga-tiga cara mengerjakan haji ini?

Haji Tamattuk

Haji Tamattuk bermaksud mengerjakan atau melakukan umrah terlebih dahulu daripada ibadat haji dalam bulan-bulan haji. Kemudian, mereka akan melakukan ibadah haji dalam tahun yang sama. Jenis haji Tamattuk dikenakan Dam atau denda.

Haji Ifrad

Haji Ifrad pula bermkasud mengerjakan ibadah haji terlebih dahulu dalam bulan haji. Kemudian, barulah ibadah umrah dilaksanakan pula. Bagi mereka yang melaksanakan Haji Ifrad mereka tidak akan dikenakan Dam atau denda.

Haji Qiran

Haji Qiran pula bermaksud, melakukan ibadah haji dan juga umrah secara bersekali. Terdapat dua cara dalam kaedah Haji Qiran ini.

  • Cara pertama: Seseorang itu berniat untuk melakukan haji dan umrah secara serentak. Kemudian, dia melaksanakan segala rukun dan wajib haji. Umrah dianggap selesai dilakukan setelah selesai melakukan haji
  • Cara kedua: Seseorang itu berniat untuk melakukan umrah sahaja, tetapi sebelum melakukan ibadah tawaf, dia perlu berniat untuk mengerjakan haji. Dia kemudiannya melakukan segala rukun dan wajib haji

Apakah perbezaan antara ibadah haji dan umrah

  1. Haji hanya dilakukan dalam bulan haji, manakala umrah boleh dilakukan pada bila-bila masa
  2. Ibadah haji hukumnya wajib sekali seumur hidup, manakala hukum melakukan umrah hanyalah sunat
  3. Haji memerlukan wukuf, bermalam di Muzdalifah dan Mina serta melontar jamrah. Ibadah umrah pula tidak melibatkan perkara-perkara tersebut

Adalah penting untuk kita sekurang-kurangnya mengetahui cara mengerjakan haji ini. Berkemungkinan, rezeki kita untuk dipanggil ke Baitullah akan sampai tidak lama lagi.

Semoga kita semua dikurniakan kesempatan dan kemampuan untuk melakukan ibadah haji.