Ini tiga kelebihan puasa Ramadan terhadap kesihatan mental manusia

Kesejahteraan Mental Md Wa'iz
Terkini
Ini tiga kelebihan puasa Ramadan terhadap kesihatan mental manusia
Ini tiga kelebihan puasa Ramadan terhadap kesihatan mental manusia © Mohamed Osama | Dreamstime.com

Ramai yang mengetahui mengenai fadilat berpuasa bulan Ramadan daripada segi rohani atau spiritual. Selain itu, terdapat juga kelebihan puasa Ramadan terhadap kesihatan otak atau mental kita.

Bagaimana amalan berpuasa memberi manfaat kepada kesihatan mental?

Puasa merupakan amalan umat terdahulu

Umat Islam diwajibkan untuk melakukan ibadah puasa setiap kali tibanya bulan Ramadan. Ibadah puasa ini telah difardhukan pada bulan Syaaban, tahun kedua Hijrah. Allah Taala telah berfirman yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”

(Surah Al-Baqarah, ayat 183)

Daripada ayat tersebut, dapatlah difahami bahawa ibadah puasa bukanlah satu ibadah yang baharu bagi umat Islam. Ia telah disyariatkan oleh Allah Taala kepada umat-umat sebelumnya. Ia adalah satu bentuk ibadah yang mendekatkan diri seorang hamba kepada penciptanya.

Kelebihan puasa Ramadan kepada kesihatan otak dan mental

Selain memberikan manfaat kepada kesihatan perut, amalan berpuasa juga memberikan kebaikan kepada kesihatan otak dan mental manusia. Antara kelebihan berpuasa kepada otak ialah:

Meningkatkan fungsi otak

Apabila kita berpuasa, bahan-bahan bertoksik akan kurang diproses dalam badan disebabkan kurangnya aktiviti pemakanan dan penghadaman. Tenaga badan yang sebelum ini digunakan untuk mencerna makanan akan digunakan oleh otak kita. Ini menjadikan otak kita lebih mudah untuk berfikir.

Anda mungkin tidak menyedari hal ini kerana tubuh badan anda mungkin akan mengambil masa selama beberapa hari untuk menyesuaikan diri dengan aktiviti berpuasa.

Pada awal berpuasa, anda mungkin akan mengalami pening kepala dan sakit badan. Namun, selepas toksin dikeluarkan daripada tubuh, otak anda akan berfungsi dengan lebih baik daripada sebelum ini.

Kesungguhan diri akan meningkat

Apabila berpuasa, kita memerlukan kekuatan mental dan kemampuan untuk menolak kepuasan jangka pendek demi mencapai tujuan jangka panjang. Apabila kita melakukan ibadah puasa dengan pelbagai cabaran sepanjang berpuasa, kita akan mendapat satu kepuasan yang besar apabila kita berjaya mengharungi cabaran berpuasa ini.

Kepuasan seperti ini akan menggalakkan otak kita untuk menjadi lebih kuat dan berdaya tahan terhadap sebarang cabaran yang mendatang.

Menghalang penyakit berkaitan penurunan fungsi otak

Kajian ada menyatakan bahawa amalan berpuasa juga mungkin boleh membantu melindungi otak daripada mengalami penurunan fungsinya.

Amalan berpuasa boleh membantu meningkatkan penghasilan sel saraf yang membantu meningkatkan fungsi kognitif. Selain itu, berpuasa juga dilihat boleh melindungi otak daripada risiko penyakit nyanyuk dan juga Parkinson.

Kelebihan puasa Ramadan jadi rangsangan untuk terus berpuasa

Walaupun kita mungkin agak keletihan kerana perlu bekerja dan berpuasa dalam masa yang sama, ketahuilah bahawa ada ganjaran bagi setiap yang kita lakukan. Berpuasa memberikan peluang kepada kita untuk mengurangkan perkara-perkara mazmumah dan meningkatkan amal soleh.

Selain itu, berpuasa juga menggalakkan kesihatan tubuh daripada segi fizikal dan juga mental. Kelebihan puasa Ramadan seperti ini diharapkan menjadi rangsangan untuk kita terus berpuasa dengan kuat dan bersemangat sepanjang Ramadan ini.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.