Internet di awal Syawal

Guna internet dengan baik © Hafiza Samsuddin | Dreamstime.com

Buat pertama kali dalam sejarah berhari raya, kita menggunakan internet dan media sosial sebagai medium untuk berinteraksi dengan ibu ayah dan adik-beradik yang jauh mahupun dekat.

Normal baharu ziarah menziarahi melalui penggunaan teknologi komunikasi akhirnya berlaku juga di tahun 2020 ini. Secara fizikalnya kita tidak balik beraya, tetapi secara maya kita boleh berhubung dan menyatakan perasaan masing-masing melalui kecanggihan teknologi.

Keperluan internet di pagi hari raya dan dua tiga hari yang menyusul akan memuncak dan kita memerlukan capaian berkelajuan tinggi supaya panggilan video tidak tersekat-sekat.  Kita mahu menatap wajah ibu dan ayah di kampung.  Kita mahu memohon ampun dan maaf atas kesalahan lalu.

Iklan di kaca televisyen yang ditaja oleh telefon pintar berjenama antarabangsa yang   mempopularkan capaian pelanggannya semakin kerap bersiaran. Penggunaan telefon pintar tersebut membolehkan kita berinteraksi bukan dengan seorang dua atau tiga orang, malah lebih daripada itu dalam satu panggilan.

Terpengaruh melihat kecanggihan yang dipaparkan, kita juga teringin mahu memiliki gajet tersebut.  Jika pada musim perayaan yang lalu, kita berbelanja besar menyiapkan  baju raya sedondon untuk diperagakan di hari raya, hari ini kita sibuk menyiapkan telefon pintar dan capaian internet di hari raya.

Jalan raya di kampung mungkin lengang pada pagi raya kali ini.  Tiada lagi keriuhan tetamu yang datang dan tiada lagi kunjungan dari rumah ke rumah selepas solat sunat Aidilfitri.  Tiada lagi suara anak-anak memberi salam dan mengucapkan selamat hari raya sambil memungut duit raya.

Entah ada keperluan untuk kita menyediakan sampul-sampul raya untuk diberi kepada anak-anak pada tahun ini atau tidak.  Saat inilah yang akan kita rindui nanti.  Kalau bajet untuk anak-anak kita tukar dan hantar kepada mereka yang memerlukan pun baik.  Mereka dapat berhari raya dengan senyuman di wajah.

Kita tidak punya pilihan untuk balik kampung tetapi kekal di rumah.  Inilah arahan yang perlu kita patuhi susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilanjutkan sehingga 9 Jun 2020.  Kita patuh kerana tanggungjawab sesama manusia.  Pandemik COVID-19 dikatakan mudah berjangkit kepada orang tua, pengidap penyakit kronik, anak-anak kecil dan mereka yang mengalami masalah sistem imun badan lemah.

Daripada Abdullah bin Umar r.a. menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda:  “Seorang Muslim adalah saudara terhadap Muslim (yang lain), dia tidak boleh menganiaya dan tidak akan dianiaya oleh orang lain.  Sesiapa yang melaksanakan hajat saudaranya, maka Allah SWT akan melaksanakan hajatnya.  Sesiapa yang melapangkan kesusahan seseorang Muslim, maka Allah SWT akan melapangkan kesukarannya pada hari kiamat.  Sesiapa yang menutup aib seseorang Muslim, maka Allah SWT akan menutup aibnya pada hari kiamat.”  (Hadis riwayat al-Bukhari, No 2442, 6901, Muslim, No 2580)

Justeru, marilah kita sama-sama membantu diri dan orang lain dengan  mengamalkan kebersihan, mencuci tangan secara kerap, mendapatkan pemeriksaan kesihatan sekiranya disyaki mengalami jangkitan.  Semoga semua ini akan berakhir. Selamat berinternet di Aidilfitri.