Irfan Khairi – jutawan internet Malaysia

Cerita Utama Minggu Ini Chan Abdullah 01-Sep-2020
Irfan Khairi
Irfan Khairi © facebook.com/irfankhairi.fb

Noor Irfan Khairi Noor Azmi atau lebih dikenali dengan panggilan IK, adalah seorang jutawan internet di Malaysia. Melalui salah satu perniagaan internet yang dijalankan di rumah, beliau telah berjaya meraih keuntungan bersih RM1 juta pertama semasa berusia 25 tahun.

Irfan Khairi mendapat ijazah Sarjana Muda Multimedia Design dari Staffordshire University, United Kingdom. Selepas mendapat ijazah, beliau telah menerima tawaran kerja di syarikat Netmedia (UK) ltd di Birmingham, England. Syarikat tersebut merupakan salah sebuah syarikat teknlogi maklumat (IT) terbesar di sana.

Beliau telah berkhidmat sebagai pereka sistem multimedia dan perunding internet. Irfan Khairi terlibat sebagai salah seorang ahli pasukan yang bertanggungjawab mereka sistem pembelajaran internet untuk sekolah-sekolah di United Kingdom. Sistem ini telah dinamakan ‘Learning Grid’.

Minat dan pengetahuan beliau yang mendalam berkaitan perniagaan internet membuatkannya memulakan perniagaan internet secara sambilan pada tahun 1999. Selepas mendapati pendapatan dari perniagaan Internetnya jauh lebih menguntungkan berbanding bekerja di syarikat orang,  beliau mengambil keputusan untuk menumpukan perhatian kepada perniagaan Internet miliknya selepas satu tahun beroperasi.

Selain menjadi ahli perniagaan, Irfan Khairi yang tidak lokek dengan senyuman ini juga merupakan seorang personaliti televisyen dan penulis buku yang sangat berjaya. Beliau juga merupakan seorang speaker pakar yang banyak memberikan ceramah berkaitan motivasi dan juga perniagaan internet. Pelbagai pelanggan korporat juga mendapatkan khidmat beliau sebagai speaker pakar, antaranya ialah Maybank, Kementerian Belia dan Sukan, fmBrunei dan lain-lain.

Kini melalui syarikatnya, Irfan Khairi Sdn Bhd (IKSB), beliau menjalankan program intensif perniagaan internet bersama Irfan Khairi. Program sepanjang enam bulan ini bertujuan memberi asas yang kukuh kepada orang ramai untuk menghasilkan perniagaan internet yang berjaya. Ramai alumni program ini yang telah berjaya mendapat kejayaan yang membanggakan.

Walaupun kini beliau berpangkalan di Dubai atas urusan perniagaan, beliau masih selalu turun padang dan turut terlibat sendiri dalam beberapa sesi  mengajar di dalam program intensif perniagaan internet ini. Sikap dedikasi yang ditunjukkan beliau memang sememangnya dipuji dan dicontohi.

Kejayaan beliau di dalam perniagaan internet turut mengharumkan nama negara di mata dunia. Siapa sangka, hanya berbekalkan komputer riba, talian internet dan bekerja dari rumah, kini beliau menjadi jutawan internet yang disenangi.