Irrfan Khan, pelakon ‘Life of Pi’ meninggal dunia akibat jangkitan usus

Dunia Syed Safri 30-Apr-2020
Pelakon Bollywood dan Hollywood, allahyarham Irrfan Khan By Bollywood Hungama, CC BY 3.0, Link

Pelakon filem Bollywood, Irrfan Khan yang membintangi filem Life of Pi dan Slumdog Millionaire, meninggal dunia semalam akibat jangkitan usus besar. Beliau yang telah didiagnosis menghidap tumor neuroendokrin sejak 2018, meninggal dunia setelah menjalani rawatan intensif di sebuah hospital di Mumbai.

Suatu yang agak menyedihkan, sebelum beliau meninggal dunia, ibunya Saeeda Begum, 95 tahun telah meninggal dunia di Jaipur pada 25 April 2020.  Allahyarham Irrfan meninggalkan seorang balu, Sutapa Sikdar dan dua orang anak lelaki, Babil Khan dan Ayaan Khan.

Pastinya, berita kematian pelakon yang berumur 53 tahun itu telah mendapat perhatian di seluruh dunia, terutamanya melalui media sosial. Ramai selebriti, seperti Shahrukh Khan, Amitabh Bachchan dan Kamal Haasan serta para peminat seluruh dunia turut berdukacita dan mengucapkan selamat atas pemergiannya.

Shahrukh Khan menganggap allahyarham Irrfan sebagai sumber inspirasi dan pelakon yang hebat, dan beliau mendoakan semoga Allah SWT memberkati jiwanya. Sedikit laterbelakang, beliau dilahirkan sebagai Sahabzade Irrfan Ali Khan pada 7 Januari 1967, dalam keluarga Muslim di Rajasthan. Keluarganya menjalankan perniagaan tayar dan di awal kehidupannya, beliau pernah terlibat dalam sukan kriket secara serius.

Pada tahun 1984, allahyarham Irrfan belajar berlakon di Sekolah Drama Nasional (NSD) New Delhi. Mula berlakon pada tahun 1980-an, beliau seterusnya telah berlakon dalam banyak filem Bollywood. Pada tahun 2004, beliau memenangi anugerah penjahat terbaik untuk peranannya dalam filem Haasil. Beliau juga telah memenangi anugerah pelakon terbaik 2014 bagi Anugerah Filem Asia untuk filem Lunchbox.

Sebagai pelakon di India, Allahyarham Irrfan telah dianugerahkan Padma Shri, penghormatan awam keempat tertinggi di India pada tahun 2011. Sebagai pelakon Bollywood di dunia perfileman Hollywood, beliau telah berlakon dalam banyak filem box-office seperti the Amazing Spider-Man, Life of Pie, Slumdog Millionaire, Jurassic World, dan Inferno. Semoga Allah SWT cucuri rahmat ke atas roh beliau.