Islam dan ekonomi sewaktu zaman kemilau Islam

Dunia Arab Hanita Hassan 09-Okt-2020
IbnKhaldun_themuslimtimes.info
Ibnu Khaldun © themuslimtimes.info

Setiap kali memperkatakan tentang Islam dan ekonomi sewaktu zaman kemilau Islam, ramai dengan pantas memikirkan tentang matematik, perubatan dan astronomi. Apa yang tidak disedari adalah Islam sewaktu era tersebut turut meninggalkan pengaruh dan sumbangan yang sangat penting dalam bidang ekonomi.  Sejak abad kesembilan hingga abad ke-14 Masehi, para sarjana Islam telah mewujudkan beberapa konsep, strategi dan aplikasi yang cukup canggih dalam semua aspek ekonomi.

Dari sistem percukaian ke kewangan, pelaburan ke pembangunan ekonomi, pengeluaran dan banyak lagi, semuanya dipelopori oleh orang Islam.  Salah satu konsep terpenting yang dibangunkan oleh umat Islam pada masa itu adalah hawala, sistem pemindahan nilai.

Namun bukan itu sahaja, umat Islam juga membina sistem dana amanah Islam yang digelar wakaf. Sistem kontrak ini sangat baik sehingga semua pelabur, pedagang serta peniaga bergantung kepada penggunaannya dalam semua transaksi mereka.

Islam dan ekonomi sewaktu zaman Al-Ghazali

Sebagai umat Islam, para sarjana begitu berhati-hati mengembangkan konsep ekonomi agar mematuhi prinsip-prinsip dalam Islam. Ini termasuklah penggabungan zakat (sedekah dalam Islam dan salah satu daripada lima Rukun Islam untuk memberi kepada yang memerlukan) dan menghindari semua bentuk riba (riba atau faedah). Rujukan banyak dilakukan menerusi al-quran, hadis dan karya-karya para sarjana Islam sebelum menyelesai dan menerapkan konsep ekonomi.

Tidak lengkap perbincangan mengenai ekonomi sewaktu zaman kemilau Islam tanpa mengaitkan dengan sarjana Islam seperti Al-Ghazali. Seorang genius yang membuat ramalan, Al-Ghazali mengklasifikasi ekonomi sebagai salah satu sains yang berkait dengan etika, agama, metafizik dan psikologi.

Menurut Al-Ghazali, aktiviti ekonomi sangat penting dalam kehidupan dan baginya model ekonomi tidak hanya bermanfaat kepada umat manusia tetapi juga harus menjadi yang terbaik untuk kerohanian dan keselamatan di dunia mahupun di akhirat. Inilah pemikiran yang diterapkan oleh para pemikir muslim terdahulu terhadap prinsip pengembangan ekonomi.

Islam dan ekonomi sewaktu zaman Ibnu Khaldun

Ibnu Khaldun adalah antara ahli ekonomi Islam hebat yang mengubah zaman kemilau Islam dengan memecahkan prinsip ekonomi. Lahir di tempat yang digelar Tunisia moden hari ini, Ibnu Khaldun telah mengubah keseluruhan wajah ekonomi selamanya. Beliau dianggap sebagai bapa ekonomi moden.

Ibnu Khaldun berjaya melakukan ini ekoran sumbangan yang panjang dalam bidang ekonomi. Beliau juga menulis buku yang tiada tandingan mengenai teori politik dan ekonomi berjudul Muqaddimah (diterjemah sebagai Prolegomena).

Bagi Ibnu Khaldun, pertumbuhan ekonomi adalah berkadar langsung dengan persekitaran sosial. Beliau dengan jelas menerangkan kaitan antara pembangunan modal insan, pertumbuhan penduduk dan kesan teknologi terhadap kemajuan ekonomi. Mengenai cukai, beliau menghasilkan apa yang dikenal sekarang sebagai Keluk Laffer Khaldun. Konsep ini menunjukkan hubungan antara pendapatan cukai dan kadar cukai. Ibnu Khaldun juga mengemukakan idea tentang teori nilai pekerja.

Maha Suci Allah SWT, prinsip ekonomi yang dicipta oleh cendekiawan muslim dalam zaman kemilau Islam masih sah dan sesuai hingga hari ini. Pencapaian Islam dan ekonomi pada zaman kemilau Islam membuktikan bahawa selagi umat Islam tetap teguh di jalan Islam, keberadaan kita di muka bumi ini akan dipermudahkan.  Semoga Allah membimbing perjalanan kita, aamin.