Islam dan kecintaan terhadap ilmu

Dunia Hanita Hassan 28-Mei-2020
Islam dan cinta kepada ilmu © Surya Nair | Dreamstime.com

Ilmu pengetahuan adalah penyuluh ke jalan  hidup manusia keluar dari kegelapan. Ilmu menjadikan kehidupan bertambah maju.  Ilmu juga mengajar kita tentang kebenaran dengan kebatilan. Dengan ilmu, kita akan terselamat daripada tipu daya syaitan.

Tamadun Islam berkembang seiring dengan percambahan pelbagai institusi ilmu seperti perpustakaan dan institusi pendidikan tinggi. Khalifah kedua Dinasti Abbasiah, yang mengasaskan kota Baghdad, Abul Ja’far al-Mansur merupakan pemerintah Abbasiah pertama yang menunjukkan minat mendalam terhadap ilmu pengetahuan.

Ketika itu, beliau telah mengarahkan agar semua karya agung dalam bahasa Hindi, Farsi, Suryani dan Yunani dikumpul dan diterjemah ke Bahasa Arab. Memandangkan karya-karya asing yang dikumpul terlalu banyak, sebuah tempat yang besar untuk menyimpan karya-karya tersebut diperlukan sebelum diterjemah. Idea ini menghasilkan sebuah perpustakaan diraja, yang akhirnya berkembang menjadi institusi ilmu yang dikenali sebagai Baitul Hikmah pada tahun 830 pada zaman al-Ma’mun.

Baitul Hikmah merangkumi beberapa bahagian seperti biro terjemahan, perpustakaan, tempat penyimpanan buku dan akademi untuk para sarjana.  Dalam masa 150 tahun, hampir keseluruhan karya utama Yunani dalam bidang sains dan falsafah sudah diterjemah ke dalam Bahasa Arab.

Setiap bandaraya utama dalam Dunia Islam memiliki perpustakaan yang besar. Perpustakaan di Baghdad dan Cordoba sahaja dikatakan mempunyai ratusan ribu buku.  Selain Perpustakaan Baitul Hikmah, terdapat banyak lagi perpustakaan di Baghdad yang merupakan sebahagian daripada madrasah yang wujud ketika itu.

Di samping perpustakaan awam, terdapat juga perpustakaan peribadi yang hanya digunakan oleh para ilmuan, penulis dan pengkaji. Di wilayah timur empayar seperti Mosul, Basrah, Shiraz dan Rayy pula beberapa perpustakaan besar yang mengambil inspirasi Baitul Hikmah didirikan pada kurun ke-9 dan ke-10. Termasuk juga di Kaherah, Aleppo, dan bandar besar lain di Iran dan Asia Tengah.

Pada kurun ke-10, terdapat 70 perpustakaan awam di Cordoba dengan yang terbesar memiliki 400,000 buah buku, di Kaherah pula melebih 10,000 koleksi buku.  Sesetengah perpustakaan peribadi juga memiliki koleksi buku yang sangat besar. Sebagai contoh, pada kurun ke-10, al-Hakim, seorang wazir (menteri) di al-Andalus mempunyai koleksi 400,000 buku.  Bahkan, ketika itu wujud koleksi buku awam yang sangat meluas sehingga mustahil  menemui sebuah masjid atau institusi ilmu  di dunia Islam tanpa memiliki koleksi buku.

Walau bagaimanapun, kesemua karya yang dihasilkan para ilmuan Islam ini sama ada hilang atau dimusnahkan ketika penaklukan Dunia Islam.  Ketika Mongol menyerang Baghdad pada tahun 1258, buku-buku di Baitul Hikmah yang dikumpulkan selama hampir 400 tahun dicampak ke dalam Sungai Furat sehingga ia menjadi sebuah jambatan sementara membolehkan Mongol menyeberanginya. Bahkan warna air Sungai Dajlah ketika itu menjadi hitam kesan dakwat dari khazanah ilmu Islam yang  dicampak ke dalamnya.

Allah SWT berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 269 yang bermaksud:  “Dia (Allah) memberikan hikmah kepada sesiapa yang dikehendakinya, dan sesiapa yang diberikan hikmah itu, maka sesungguhnya dia telah diberikan kebajikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran melainkan orang-orang yang mempunyai akal yang dapat memikir dan memahaminya.”

Semoga kita terus istiqamah dalam menimba ilmu pengetahuan yang berguna kepada diri dan masyarakat.