Islam dan kewangan – pentingnya perbankan Islam

Agama Nur Adibah Ramly 20-Okt-2020
dreamstime_s_140461146
Islam dan kewangan - pentingnya perbankan Islam © Ababil12 | Dreamstime.com

Hari ini, seluruh dunia telah menyaksikan betapa besarnya faedah dan pentingnya perbankan Islam. Bahkan, negara-negara yang majoriti penduduknya bukan beragama Islam juga beralih kepada kewangan cara Islam.

Apa itu perbankan Islam? Secara ringkasnya, perbankan Islam juga disebut kewangan Islam atau kewangan patuh syariah. Ia adalah perbankan atau pembiayaan yang mengikut ketetapan undang-undang Islam (syariah).

Ini bermaksud, perbankan Islam tidak terlibat dalam perniagaan yang telah dinyatakan haram (dilarang) dalam Islam. Ia termasuklah perniagaan alkohol, daging babi, perjudian, pornografi, atau keuntungan berdasarkan faedah.

Akhir-akhir ini, terdapat lonjakan yang besar dalam pertumbuhan perbankan Islam sehingga lebih daripada 300 buah bank di seluruh dunia yang patuh syariah. Di samping itu, sejumlah lebih daripada USD3.5 trilion adalah nilai aset yang diklasifikasikan dalam perbankan Islam dan ia masih berkembang.

Kelebihan perbankan Islam

Akhirnya, dunia mula melihat kelebihan yang terdapat dalam perbankan Islam. Salah satu faktor terbesar mengapa perbankan Islam menjadi semakin popular pada hari ini adalah kerana ia merupakan tafsiran yang paling tepat mengenai konsep keadilan kewangan.

Tidak seperti yang diperoleh dalam sistem perbankan konvensional yang berasaskan riba, perbankan Islam menjaga kepentingan semua pihak dalam perjanjian. Sistem perbankan konvensional adalah cabang kapitalisme yang hanya berminat untuk menjana keuntungan daripada faedah tanpa rasa bersalah. Ia memindahkan semua risiko kepada penerima dan  sama sekali tidak adil.

Terima kasih kepada perbankan Islam, perkara sebegini tidak akan berlaku. Dalam pembiayaan patuh syariah, yang paling mengagumkan ialah semua keuntungan dan kerugian dibahagi kepada semua pihak dengan cara yang sangat adil dan saksama.

Dengan cara ini, semua orang boleh berniaga dengan tenang. Ini kerana mereka mengetahui bahawa walau apapun yang terjadi, tidak ada orang yang akan mengalami kerugian yang tidak seimbang. Konsep keadilan kewangan ini menarik perhatian seluruh dunia tetapi  bahagian kewangan Islam adalah perintah langsung Allah SWT kepada kita sebagai umat Islam.

Berlaku adil, jangan menyimpang dari kebenaran

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar penegak keadilan, menjadi saksi kerana Allah biarpun terhadap dirimu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabatmu. Jika ia kaya ataupun miskin, maka Allah lebih tahu kemaslahatannya. Maka janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ingin menyimpang dari kebenaran. Dan jika kamu memutarbelitkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi, maka sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui segala apa yang kamu kerjakan.”

(Surah an-Nisaa’, ayat 135)

Allah SWT memerintahkan kita untuk berlaku adil dalam semua urusan yang kita lakukan. Meluaskan penyertaan kewangan, menyediakan kestabilan dalam pelaburan, mengurangkan bahan beracun (seperti tembakau dan alkohol) daripada pengedaran, dan mengoptimum pembangunan ekonomi adalah antara sebab lain mengapa individu, syarikat dan pemerintah di seluruh dunia beralih kepada perbankan Islam.

Semoga Allah SWT terus menunjukkan ihsan-Nya kepada seluruh umat manusia dan semoga Dia meneguhkan kita di jalan yang benar.