Islam menuntut umatnya berbuat baik dengan semua orang, bangsa dan agama

Masyarakat Md Wa'iz
Md Wa'iz
Islam menuntut umatnya berbuat baik dengan semua orang, bangsa dan agama
Islam menuntut umatnya berbuat baik dengan semua orang, bangsa dan agama © Albertshakirov | Dreamstime.com

Di Malaysia, pelbagai penduduk berbilang agama dan bangsa hidup bersama dengan harmoni dan saling bertolak ansur. Hidup secara bersama ini tidak menghalang orang Islam untuk berbuat baik sesama manusia walaupun terhadap orang bukan Islam.

Islam menuntut berbuat baik sesama manusia

Agama Islam sendiri tidak menghalang umatnya untuk berbuat baik kepada orang bukan Islam selagi mana ia tidak berniat jahat kepada agama Islam.

Islam mengajar umatnya untuk sama-sama menghormati antara satu sama lain memandangkan kesemua manusia berasal daripada keturunan yang sama iaitu Nabi Adam a.s. Antara dasar utama Islam dalam hubungan etnik ialah berbuat baik sesama manusia.

Walaupun ada manusia yang berbeza agama dengan kita, Islam tetap menyuruh umatnya untuk berbuat baik dan bersifat adil.

Ambil iktibar kisah Asma’ binti Abu Bakar dan Rasulullah SAW

Terdapat satu peristiwa di mana ibu Asma’ binti Abu Bakar yang bukan beragama Islam ingin datang menziarahinya.

Asma’ telah menyatakan kepada Nabi Muhammad SAW bahawa ibunya sangat ingin datang berjumpanya dan menyambung pertalian dengannya. Asma’ bertanya kepada Rasulullah sekiranya dia dibenarkan untuk menyambung pertalian dengan ibunya yang bukan Islam.

Lalu Rasulullah SAW menjawab bahawa ia dibolehkan. Malah, Baginda turut menyatakan kepada Asma’ untuk menerima hadiah yang diberikan oleh ibunya dan membenarkan ibunya memasuki rumahnya.

Peristiwa ini ada kaitannya dengan firman Allah Taala yang bermaksud:

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”

(Surah Al-Mumtahanah, ayat ke-8)

Rasulullah SAW melarang menyakiti orang-orang bukan Islam

Bagi orang bukan Islam yang tidak menzahirkan kebencian kepada Islam, kita digalakkan untuk terus berbuat baik kepada mereka. Malah, ia bukanlah satu kesalahan untuk kita mewujudkan hubungan dengan mereka selagi mana mereka tidak mengancam atau memerangi Islam.

Rasulullah SAW sendiri pernah menyatakan larangan kepada umat Islam untuk menyakiti golongan kafir zimmi. Dalam satu hadis, Baginda telah bersabda yang bermaksud:

“Barangsiapa menzalimi kafir yang diikat perjanjian setia dengan kerajaan Islam atau mengurangkan haknya, atau membebankannya di luar keupayaannya, atau haknya diambil tanpa kebenarannya, maka aku akan membelanya pada hari Kiamat kelak.”

(Hadis riwayat Abu Daud)

Memupuk sikap toleransi dalam hidup bermasyarakat

Sifat toleransi amat penting untuk dipupuk dalam komuniti masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan juga agama. Sifat toleransi mengajar setiap daripada kita untuk saling bertolak ansur dan tidak mementingkan diri antara satu sama lain.

Sebagai contoh, apabila tiba solat Jumaat, orang-orang bukan Islam bersifat bertoleransi dengan membenarkan kereta orang Islam diletakkan di hadapan rumah mereka yang kebetulan berdekatan dengan masjid.

Begitu juga apabila terdapat perayaan Thaipusam yang diraikan oleh masyarakat Hindu. Orang Islam memberikan laluan kepada penganut agama Hindu untuk berarak ke kuil mereka.

Sifat toleransi inilah yang menjadikan masyarakat kita lebih teguh dan harmoni walaupun wujud perbezaan daripada segi kepercayaan, budaya dan juga bangsa.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.