Isteri idaman seorang suami

Keluarga Chan Abdullah 05-Ogo-2020
Isteri Idaman suami © Radzian | Dreamstime.com

“Isteri cerdik yang solehah penyejuk mata, penawar hati, penajam fikiran. Di rumah dia isteri, di jalanan kawan. Di waktu kita buntu, dia penunjuk jalan. Nasihat kita dijadikan pakaian. Silap kita dia betulkan. Penghibur di waktu kesunyian. Terasa rahmat bila bersamanya. Dia umpama tongkat si buta. Bila tiada satu kehilangan”.

Inilah antara bait-bait lirik lagu yang dinyanyikan oleh kumpulan Saff-One yang bertajuk ‘Isteri Solehah’.

Setiap wanita yang bergelar isteri pastinya ingin menjadi isteri idaman suami yang paling disayangi dan dikasihi. Perasaan bimbang sentiasa menghantui sekiranya suami hilang rasa kasih sayang kepada  seorang isteri.

Menjadi seorang isteri yang solehah buat suami

Benar tiada seorang insan yang sempurna tanpa melakukan kesilapan dalam dunia ini. Namun, bukanlah alasan untuk tidak menjadi seorang isteri yang solehah buat suami. Ada pelbagai cara untuk menambat hati suami supaya sentiasa dapat menjadi isteri idamannya buat selamanya.

Hormati suami

Sentiasalah mengamalkan sikap saling hormat menghormati terhadap pasangan meskipun ada antara isteri yang berjawatan dan bergaji lebih besar daripada suami. Walau apa sekalipun pekerjaan suami dan apa jua kekurangan suami, dia tetap seorang ketua keluarga yang patut kita hormati.

Ingat ya para isteri, bahawa Syurga itu letaknya pada suami.

Tumpukan perhatian kepadanya

Sesibuk mana sekalipun jadual dan aktiviti harian kita, jangan sesekali abaikan tanggungjawab sebagai isteri. Sentiasa berikan tumpuan kepada suami agar mereka tidak rasa dipinggirkan.

Jangan sesekali biarkan mereka rasa tidak dihargai. Berikan mereka belaian dan layanan yang baik. Masakkan lauk kegemaran mereka, hidangkan dan makan bersama. Ajak suami berbual walaupun sifat suami ada sesetengahnya yang lebih banyak berdiam daripada berbicara.

Hargai pengorbanan suami

Hargai suami yang berpenat lelah mencari rezeki untuk isteri dan anak-anak. Bila lihat suami balik kerja dalam keadaan penat, sambut kepulangan mereka dengan senyuman di muka pintu. Fahami kerja suami yang ada kalanya tidak tentu masa. Jaga makan, minum dan pakaian mereka dengan baik.

Mendoakan suami

Sentiasalah mendoakan suami dengan perkara yang baik-baik. Doakan kesihatannya agar sentiasa sihat dalam mencari rezeki yang halal untuk keluarga. Doakan kesejahteraannya agar sentiasa berada dalam rahmat Allah SWT.

Bersama-samalah kita berusaha menjadi isteri idaman suami buat selamanya agar rumahtangga yang dibina sentiasa kekal harmoni hingga ke akhir hayat.