Isteri solehah idaman suami

Budaya Hanita Hassan 10-Jun-2020
Cetus hubungan baik antara suami isteri © Paulus Rusyanto | Dreamstime.com

Daripada Ibnu Umar r.a., Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:  “Bermula dunia ini ialah kesukaan dan keseronokan dan sebaik-baik kesukaan itu adalah wanita yang solehah.” (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Imam Muslim)

Semua lelaki menginginkan seorang isteri yang solehah. Isteri yang patuh kepada perintah Allah SWT dan Rasul-Nya, taat kepada suami dan tidak sesekali bercakap tidak benar dalam semua keadaan. Pandai mengurus rumah tangga dan mendidik anak-anak.

Seorang isteri solehah, sifat kasih sayangnya tinggi. Beliau sentiasa mencari keredaan suami.  Setiap hari, dia akan berpenampilan menarik dan melayani suami dengan cara yang terbaik.  Semua keperluan suami akan disiapkan selengkapnya. Malah segala rahsia dan amanah suami dipelihara dengan sebaik-baiknya.

Namun seperti lagu yang sentiasa segar dendangan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, ‘sedangkan lidah lagi tergigit, apa pula pula suami isteri,’ kehidupan sebagai suami isteri bukan satu perkara mudah. Tidak kira berapa lama kita berumah tangga, pasti ada masa terjadi pertelingkahan.  Namun jangan dibiarkan berpanjangan.

Firman Allah SWT dalam Al-Quran yang bermaksud:  “Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah.  Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.”  (Surah Al-Anfal, ayat 46)

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:  “Mahukah kamu aku beritahu daripada hal sebaik-baik barang yang perlu disimpan oleh seseorang lelaki?  Ia adalah isteri solehah.

Jika suami melihat kepadanya dia akan gembira, jika suami menyuruhnya sesuatu dia akan taati, dan jika suami tiada di rumah, dia akan menjaga harta suaminya dan memelihara akan kehormatan dirinya.”  (HR Ibnu Majah)

Siti Khadijah binti Khuwailid r.a. (Ummul Mu’minin pertama) iaitu isteri pertama Rasulullah SAW adalah contoh wanita solehah yang boleh dicontohi.  Beliau adalah sumber kekuatan di belakang Rasulullah.  Khadijah r.a. sentiasa berusaha meringankan kepedihan hati dan menghilangkan keletihan serta penderitaan Rasulullah dalam berdakwah.

Sepanjang 24 tahun kehidupannya bersama Rasulullah SAW, Khadijah r.a. telah menanggung pelbagai penderitaan bersama-sama suami tercinta dalam penyeruan kepada Islam. Beliau banyak membantu Rasulullah mengukuhkan tekad melaksana risalah dakwah Islamiah.

Rasulullah SAW ketika menceritakan keperibadian Khadijah r.a. bersabda, yang bermaksud:  “Demi Allah, tidak ada ganti yang lebih baik daripada dia, yang beriman kepadaku saat semua orang ingkar, yang percaya kepadaku ketika semua mendustakan, yang mengorbankan semua hartanya saat semua berusaha mempertahankannya dan…daripadanyalah aku mendapatkan keturunan.”

Segala pengorbanan yang dilakukan Khadijah r.a. adalah ikhlas untuk mencari keredaan Allah SWT.  Sesungguhnya setiap amalan yang dilaksana dengan penuh keikhlasan pasti akan menghasilkan ganjaran yang berkekalan.

Firman Allah SWT yang bermaksud:  “Barang siapa yang mengerjakan amalan soleh, baik lelaki mahupun wanita dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang sudah mereka kerjakan.”  (Surah an-Nahl, ayat 97)