Istimewa Ramadan di Bo All Day Dining

Dengan tibanya bulan Ramadan, kebanyakan restoran di seluruh Malaysia berlumba-lumba untuk menyediakan menu-menu khas untuk berbuka puasa.

Tidak mahu ketinggalan dalam memberikan sedikit kelainan, restoran Bo All Day Dining yang terletak di LINC Jalan Tun Razak, menawarkan juadah menarik sempena bulan puasa ini.

 

Bermula dari jam 6 petang sehingga 10 malam sepanjang bulan Ramadan, Bo All Day Dining memperkenalkan set hidangan yang dikenali sebagai ‘Sunset Dulang’ untuk tiga hingga empat orang dan juga set khas untuk lima hingga enam orang.

Set-set ini terdiri daripada beberapa sajian tradisional Melayu yang dihidang di dalam dulang dan boleh dikongsi bersama mengikut jumlah yang telah dicadangkan.

 

Sunset Dulang untuk tiga hingga empat orang menawarkan aneka hidangan seperti Ayam Percik, Ikan Pari Bakar serta Daging Salai.

Ini diperhebatkan lagi dengan lauk sampingan seperti Sambal Terung, Telur Masin, Tempe, Sambal Belacan, Keropok, aneka ulam serta Nasi Ghee.

Tidak ketinggalan adalah pemanis mulut berupa kuih Onde-Onde, Badak Berendam dan juga kek cawan Red Velvet.

Ia juga dihidang dengan satu jag Sirap Bandung Khas ataupun Leng Chee Kang.

Set dulang kedua pula menawarkan menu yang sama untuk lima hingga enam orang dengan sedikit penukaran pada lauk iaitu Udang Masam Manis dan bukan Daging Salai.

Ia juga dihidang dengan dua jag Sirap Bandung Khas ataupun Leng Chee Kang.

Set Sunset Dulang untuk 3 hingga 4 orang berharga RM238 manakala set Sunset Dulang untuk 5 hingga 6 orang berharga RM438.

Jadi tunggu apa lagi? Jika anda berminat hubungi 017-211 2842 atau layari laman Facebook mereka di https://www.facebook.com/BoDining/