Istiqamah melaksana ibadah sesudah Ramadan

Teruskan tahap ibadah yang sama selepas Ramadan © Tatsiana Hendzel | Dreamstime.com

Syawal sudah berada sangat hampir. Tiba saatnya untuk Ramadan yang istimewa berlabuh meninggalkan semua kenangan indah.  Dalam kegirangan menerima Syawal,   pilunya menikam kalbu kerana kita terpaksa akur dan melepaskan bulan yang penuh maghfirah (keampunan) dan rahmat Allah SWT.

Kehadiran Syawal bukan alasan untuk kita melupakan semua ibadah yang dijayakan sepanjang Ramadan.  Ini termasuklah solat berjemaah fardu dan sunat, tadarus al-quran, sedekah dan majlis taklim (mengajar agama).  Rumah yang melakukan majlis taklim bermakna rumah tersebut mewarisi pusaka Rasulullah SAW.

Barangsiapa yang mewarisi pusaka Rasulullah SAW maka akan diturunkan rahmat dan barakah, ketenangan dan ketenteraman.  Malah, rumah yang mengadakan majlis taklim di dalamnya akan dikunjungi para malaikat, diturunkan taufik, hidayah serta rahmat.  Segala amal buruk, kegelapan dan ketegangan akan dijauhkan dari rumah tersebut.

Ramadan adalah titik permulaan untuk kita berubah menjadi Muslim yang lebih baik,  menjadi hamba-Nya yang sentiasa taat bukan hanya sebulan sahaja. Aktiviti yang baik ini perlu diteruskan dengan niat kerana Allah SWT.

Jika kita telusuri akan erti istiqamah, ia berasal daripada perkataan Arab iaitu tetap teguh mengikut satu jalan atau konsisten dalam tindakan berdasarkan satu panduan.  Apabila kita istiqamah melakukan sesuatu amalan, ia secara langsung boleh meningkatkan potensi diri.

Istiqamah adalah perkara yang bersangkut paut dengan amalan agar selaras dengan iman (Tuhan kami ialah Allah).  Islam adalah agama yang amat mementingkan iman dan amal.  Kedua-duanya  tidak berpisah kerana tiada iman tanpa amal dan tiada amal tanpa iman.  Seorang mukmin yang istiqamah melakukan amal ibadah kepada Allah SWT, dilakukan selari dengan hukum syarak di samping ikhlas akan memudahkan penghijrahannya ke arah menjadi individu yang lebih baik.

Firman Allah SWT dalam Al-Quran yang bermaksud:  “Oleh itu hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah, sesungguhnya Allah maha melihat akan apa yang kamu kerjakan.”  (Surah Hud, ayat 112)

Benar, bukan mudah istiqamah terutama dalam melakukan ibadah secara berterusan.  Kita memerlukan hati yang cekal di samping sokongan kuat keluarga, rakan-rakan dan orang yang rapat di sekeliling kita.

Rasulullah SAW juga telah berpesan menerusi hadis Baginda:  “Lakukanlah amal sesuai dengan kesanggupan kerana sesungguhnya Allah SWT tidak akan bosan sehingga engkau menjadi bosan.  Dan sesungguhnya amal yang paling Allah SWT sukai ialah yang terus menerus dikerjakan walaupun sedikit.”  (Hadis riwayat Abu Dawud)

Justeru, perbanyakkan memohon keampunan daripada Allah SWT untuk memberi kekuatan agar kita terus istiqamah melakukan amal ibadah walaupun selepas Ramadan mengundur diri.