Isu Dong Zong: Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) buat laporan polis

Kehidupan MAS 25-Dis-2019

Sekumpulan NGO Melayu telah membuat laporan polis terhadap pertubuhan Dong Jiao Zong. NGO berkenaan menggesa pihak polis menghalang kongres yang bakal dianjurkan pada 28 Disember oleh kumpulan pendidikan Cina tersebut. Kira-kira 200 orang berkumpul di luar Ibu Pejabat Polis daerah Kajang seawal 9 pagi tadi bagi mewakili dan menyokong NGO masing-masing.

Menurut laporan itu, perhimpunan yang dirancang pada hari Sabtu bakal mengundang kemarahan di kalangan orang Melayu. NGO terbabit juga mendesak pihak polis supaya menyiasat dan menghentikan perhimpunan  itu yang berpotensi membawa kepada rusuhan kaum. Pertelingkahan antara kaum pernah berlaku pada 13 Mei 1969.

Ketua Penerangan Pertubuhan Kebajikan Darul Islah (Perkid), turut menggesa Kementerian Dalam Negeri untuk mengharamkan Dong Jiao Zhong. Desakan tersebut berdasarkan pertubuhan Cina terlibat memiliki elemen hasutan dengan tidak menghormati kontrak sosial, anti-Melayu dan anti-Islam.

Semalam, persatuan Dong Zong mendakwa kongres pada 28 Disember adalah majlis tertutup. Ianya diadakan untuk meneliti pelaksanaan pelajaran Jawi di sekolah vernakular. Anggota Jawatankuasa Pusat Dong Zong menyatakan pihaknya tidak merancang sebarang perhimpunan bantahan. Pertemuan yang diadakan adalah terbuka kepada wakil NGO Cina sahaja untuk mengisytiharkan pendirian mereka.

Minggu lalu, Perdana Menteri telah memberi amaran bahawa penganjuran kongres berkenaan boleh mengundang kekacauan. Beliau menjangkakan terdapat golongan yang akan bertindak balas andainya kongres itu diteruskan. Tun Mahathir juga menegaskan semua pihak untuk mengambil kira perasaan kaum lain di negara yang berbilang kaum ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri pula menggesa penganjuran kongres anjuran Dong Jiao Zong ditangguhkan. Penangguhan tersebut memberi ruang untuk pendekatan lebih berhikmah seperti rundingan dan dialog untuk menangani isu berkenaan. Semua pihak juga perlu bertanggungjawab untuk bersepakat demi kepentingan negara.

Sementara itu, Anwar Ibrahim menggesa semua pihak supaya membatalkan sebarang perhimpunan berkaitan, sama ada menolak atau menyokong. Beliau menyarankan semua pihak untuk kembali ke ruang dialog.