Isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN): 75% janji telah terlaksana

Pendidikan MAS 26-Dis-2019

Menurut Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan, kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak gagal dalam melaksanakan janji manifestonya berkaitan PTPTN. Sebaliknya, tiga daripada empat janji yang termaktub dalam Buku Harapan telah dilaksanakan.

Menurut manifesto berkenaan, janji pertama adalah pelupusan pinjaman untuk pelajar cemerlang akan diberikan. Ini tertakluk kepada syarat mereka perlu daripada keluarga B40 (40% golongan terendah) atau M40 (40% golongan pertengahan). Perkara ini telah pun dilaksanakan.

Janji kedua pula adalah sekatan imigresen akan dihapuskan terhadap peminjam yang tidak membuat pembayaran semula. Terdahulu, peminjam-peminjam yang culas telah disenarai hitam. Penghapusan senarai hitam imigresen tersebut telah pun dibuat dalam masa beberapa bulan selepas pilihan raya.

Janji ketiga adalah majikan kepada peminjam yang tidak mampu melunaskan bayaran akan diberi insentif. Majikan terlibat akan membayar pinjaman PTPTN bagi pihak kakitangan dan jumlah terlibat akan menerima pelepasan cukai. Perkara ini telah dilaksanakan bermula tahun ini.

Wan Saiful membuat kenyataan berkenaan ketika program bual bicara ‘Bicara Politikonomi’ yang disiarkan Radio Televisyen Malaysia. Satu-satunya janji yang belum dapat ditunaikan adalah berkaitan penangguhan pembayaran semula pinjaman. Menurut manifesto, peminjam hanya perlu membayar semula pinjaman setelah menerima gaji melebihi RM4,000 sebulan.

Janji keempat tersebut sedang diusahakan oleh pihak PTPTN dan perkara tersebut akan mengambil masa untuk ditunaikan. Beliau membuat rumusan bahawa pelaksanaan 75% daripada janji-janji dalam masa 18 bulan pemerintahan adalah pencapaian yang membanggakan.

Wan Saiful mengesahkan pihaknya sedang menjalankan kajian mendalam untuk mengenal pasti punca sebenar peminjam culas membuat bayaran semula. Beliau menegaskan kajian tidak pernah dilakukan sebelum ini dan hanya berdasarkan andaian semata-mata. Antara andaian yang popular adalah dari segi sikap dan juga kemampuan peminjam. Beliau memberi jaminan untuk merangka penyelesaian selepas hasil kajian diperoleh.

Timbalan Menteri Pendidikan, mendedahkan bahawa seramai 375,925 peminjam PTPTN tidak pernah membayar balik pinjaman mereka, bulan lalu.