Jabir Ibn Hayyn – Bapa Kimia

Dunia Hanita Hassan 26-Ogo-2020
Setem lama Syria memperingati Jabir Ibn Hayyan © Olga Popova | Dreamstime.com

Terdapat banyak aspek yang indah tentang Islam tetapi satu daripada ciri yang paling menonjol adalah penghargaan terhadap ilmu pengetahuan dan semua yang berkait langsung dengannya.

Nabi Muhammad SAW memerintahkan umat Islam agar menuntut Ilmu dan menggunakan ilmu tersebut untuk kepentingan umat manusia dan untuk beribadat kepada Allah SWT. Justeru, tidak hairanlah ramai sarjana muslim yang bersinar bintangnya sebagai ahli sains, pemikir dan intelektual. Salah seorang yang mempunyai minda cemerlang itu adalah Jabir Ibn Hayyan.

Nama penuhnya Abu Musa Jabir Ibn Hayyan, seorang yang cukup berbakat dalam pelbagai bidang.  Pemikirannya digunakan di sebalik koleksi besar karya akademik yang dikenali sebagai Jabirian Corpus.  Himpunan koleksi akademik ini sangat komprehensif dan menyentuh pelbagai bidang seperti perubatan, alkimia, numerologi, falsafah dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, hasil kerjanya dalam bidang kimia yang menguasai karya agung ini. Hari ini, kita sedar bahawa hakikatnya kimia adalah salah satu daripada sains tulen yang paling penting dan Jabir Ibn Hayyan dikenali sebagai bapa kimia kerana karya luar biasanya dalam bidang ini.

Karya Jabir yang terkenal adalah mengenai pengkelasan dan pengelompokan bahan kimia yang pertama yang lebih sistematik dan saintifik. Karya-karyanya turut mengandungi beberapa perincian awal mengenai bagaimana menghasilkan sebatian bukan organik daripada bahan organik dengan hanya menggunakan kaedah kimia. Ketika Jabir menghasilkan penemuan ini, ia adalah jauh melangkaui zamannya.

Seorang sarjana yang prolifik, terdapat kira-kira 3,000 artikel dan risalah yang dikaitkan dengan sarjana Islam ini yang tidak mungkin dilupakan.  Seorang saintis yang luar biasa pada zamannya, dia juga dikenali sebagai pelopor kepada uji kaji kimia dan penggunaan bahan serta peralatan makmal secara meluas. Dia percaya dan berpesan sesiapa sahaja yang ingin berjaya dalam bidang kimia perlu menjadi pakar dalam uji kaji dan tugas praktikal.

Hasil dedikasinya dalam melakukan uji kaji dan praktikal, dia telah menghasilkan 20 jenis peralatan yang digunakan di makmal kimia.  Antaranya termasuklah alembik iaitu set dua buah bikar yang dihubungkan dengan tiub untuk penyulingan dan retort iaitu bikar berbentuk sfera yang digunakan dalam penyulingan.

Jabir tidak hanya memperkenalkan peralatan asas uji kaji kimia, dia juga menerangkan secara terperinci akan proses asas kimia yang semakin penting bagi bidang sains itu sendiri. Ia termasuk penyulingan dan penghabluran yang membentuk inti pati kimia.  Inovasi lain yang turut dihasilkan beliau adalah seperti kertas tahan api, bahan tahan karat dan kalis air serta banyak lagi.

Kisah Jabir ini membuktikan bahawa seseorang itu boleh menjadi sarjana dalam bidang sains dan taat sepenuhnya kepada Allah SWT.  Semoga Allah SWT merahmati generasi ini dan melahirkan lebih ramai sarjana beriman yang bukan sahaja dapat meningkatkan ilmu pengetahuan tetapi juga mempromosi Islam. Aamin.