‘Jadikan Aku Yang Halal’ Taruhan Terbaru Zulin Aziz

Pelakon, penyanyi dan pengacara serba boleh, Zulin Aziz kembali dengan single terbaru yang berjudul ‘Jadikan Aku Yang Halal’.

Menurut Zulin, lagu ini merupakan kesinambungan kepada lagu ‘Dan Ketika Itu’ yang dilancarkannya beberapa bulan lalu selepas tidak jadi berkahwin di saat-saat akhir.

Lagu ‘Dan Ketika Itu’ menceritakan tentang bagaiman untuk ‘move-on’, dan lagu Jadikan Aku Yang Halal ini menceritakan tentang kisah seseorang yang telah ‘move-on’, maksudnya dia telah ada kehidupan yang baru, jelas Zulin.

Lagu ini juga dicipta sepenuhnya oleh Zulin sendiri dan mengambil tidak sampai satu hari sahaja untuk disiapkan. Namun Zulin mengambil masa lebih kurang sebulan untuk membuat susunan muzik lagu ini kerana mahukan yang terbaik dari segi bunyi dan juga mahu ia kedengaran lebih dramatik.

Dalam lagu ini, Zulin juga menampilkan Iqa Mentor sebagai rakan duetnya. Kata Zulin, dia memilih Iqa kerana rakannya itu baru sahaja berhijrah dan kerana Iqa sudah lama tidak menyanyi jadi Zulin mengundangnya untuk bersama-sama menyampaikan lagu ini.

Selain dari lagu, Zulin turut menghadiahkan peminatnya dengan sebuah muzik video yang turut menampilkan pelakon lelaki kacak Aeril Zafrel.

Kita menampilkan Aeril Zafrel oleh kerana dia sangat sesuai untuk melakonkan watak dalam lagu-lagu yang berunsurkan Islamik seperti ini“, ujarnya kepada SalamToday.

Bercerita mengenai muzik video ‘Jadikan Aku Yang Halal’, ia membawa kisah tentang ‘friendzone’ dimana Zulin cuba memberikan kelainan dari segi jalan cerita.

Kisah-kisah sebegini lebih dekat dengan masyarakat kita. Kita tahu di luar sana pun pasti ada orang yang mengalami situasi seperti ini. Jadi bila ia lebih dekat dengan penonton, lagi mereka suka. Jika lihat komen-komen mereka, rata-ratanya memberikan komen yang positif dan membuatkan saya lebih bersemangat untuk mencipta lagu“, kongsinya.

Tahniah SalamToday ucapkan kepada Zulin Aziz. Khabarnya Zulin bakal menghasilkan sebuah lagu untuk runut bunyi sebuah filem tak lama lagi. Semoga masa depan Zulin dalam bidang muzik akan lebih cerah lagi selepas ini.