Jalur Gemilang dan negara Malaysia

Kehidupan Hanita Hassan 16-Sep-2020
dreamstime_s_124062740
Jalur Gemilang © Omei26 | Dreamstime.com

Jalur gemilang adalah bendera kebanggaan Malaysia.  Ia juga lambang dan simbol yang mencerminkan identiti serta kedaulatan negara. Sepanjang sambutan bulan kemerdekaan bulan lepas dan sempena Hari Malaysia, ramai rakyat Malaysia telah mengibarkan jalur gemilang di rumah, pejabat, sekolah atau gedung perniagaan masing-masing sebagai tanda sayangkan negara ini.

Pada Hari Malaysia yang bertarikh 16 September 2020 ini, setelah Malaysia menyambut Hari Kebangsaan yang ke-63 tahun, semangat ‘Malaysia Prihatin’ terus dihembuskan besesuaian dengan aspirasi kerajaan dalam memerangi musuh negara iaitu COVID-19. Manakala PRIHATIN adalah inisiatif kerajaan merangkumi semua aspek ekonomi, kebajikan dan kelangsungan rakyat Malaysia.

Budaya mengibarkan Jalur Gemilang sewajarnya menjadi amalan dalam hidup masyarakat di negara ini tidak kira bangsa dan agama. Anda perlu melakukannya dengan rela hati dan penuh rasa kemegahan melihat kibaran bendera negara berkibar. Setiap kali Jalur Gemilang berkibar, itu tandanya kita bebas mengatur kehidupan mengikut acuan yang kita mahukan bukan melalui telunjuk sesiapa.

Banyak program kibar Jalur Gemilang dilancarkan oleh kerajaan dan Badan-badan Bukan Kerajaan supaya timbul kesedaran terutama kepada generasi muda agar menghargai kemerdekaan yang telah kita peroleh sejak 63 tahun ini.

Jalur Gemilang adalah lambang kedaulatan dan kemerdekaan negara.  Ia bukan sekadar sehelai kain yang mencorak perlambangan negara tetapi lebih daripada itu. Ia adalah kejayaan para pemimpin silam dan para pemimpin hari ini dalam memacu negara mencapai kegemilangan sehingga dihormati semua negara di dunia.

Menyoroti sejarahnya, Jalur Gemilang bermula pada tahun 1949.  Atas persetujuan Majlis Raja-raja, sebuah jawatankuasa ditubuhkan untuk menimbang dan membuat perakuan berhubung reka bentuk bendera bagi Persekutuan Tanah Melayu.

Sebuah pertandingan mereka bentuk bendera dianjurkan oleh Majlis Perundangan Persekutuan Tanah Melayu dan tiga reka bentuk terpilih dalam penilaian akhir.  Reka bentuk milik Mohamed bin Hamzah telah dipilih sebagai pemenang dan kemudian diperakui oleh Majlis Raja-raja pada 23 Februari 1950.

Beberapa pindaan telah dibuat pada reka bentuk bendera di mana bulan sabit dan bintang yang asal warnanya putih telah ditukar ke kuning bagi melambangkan warna diraja. Pada 26 Mei 1950, pertama kalinya bendera Persekutuan Tanah Melayu berkibar di hadapan istana Sultan Selangor, Kuala Lumpur.

Nama Bendera Malaysia kemudian diubah kepada Jalur Gemilang sempena sambutan hari kemerdekaan negara yang ke-40 tahun 1997.  Ia adalah ilham dan usul daripada Datuk Hashim Mat Dris.  Pada 11 Julai 1995, cadangan tersebut telah dikemukakan kepada Perdana Menteri, Tun Mahathir ketika itu.  Menjelang Hari Kemerdekaan negara ke-40, Jalur Gemilang dikibarkan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Setiap elemen dan aspek pada bendera Jalur Gemilang mempunyai makna tersendiri. Bulan dan bintang melambangkan Agama Islam sebagai Agama Persekutuan Negara, Bintang Pecah 14 menunjukkan perpaduan 13 negeri dan satu Wilayah Persekutuan, warna kuning Anak Bulan dan Bintang melambangkan warna Diraja Duli Yang Maha Mulia Agong, warna biru tua sebagai perpaduan rakyat berbilang kaum, warna merah tanda keberanian dan warna putih lambang kesucian dan keluhuran.

Sempena sambutan Hari Malaysia, marilah sama-sama kita hayati makna disebalik mengibarkan Jalur Gemilang yang menjadi tanda menghargai kebebasan yang telah kita peroleh selama ini.  Semoga negara kita terus dipayungi kerahmatan Allah SWT.