Jamal Abdillah Dan Man Bai Buat Persembahan Pada Malam Amal Pengasih

Persatuan PENGASIH Malaysia (PENGASIH) merupakan satu pertubuhan bukan kerajaan berdaftar yang tidak berasaskan keuntungan yang telah memberi perkhidmatan sosial dalam pencegahan, rawatan dan pemulihan dadah selama 28 tahun.

Pada tahun 1991, ia telah memulakan perkhidmatan program rawatan & pemulihan atau dikenali sebagai Rumah PENGASIH di Bukit Tunku Kuala Lumpur.

Pertubuhan itu telah menerajui perkhidmatan tersebut sebagai satu pilihan alternatif terutamanya kepada penagih yang menyerahkan diri secara sukarela.

Dalam usaha untuk meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan rawatan dan pemulihan yang dijalankan, PENGASIH akan berpindah dari lokasi di Bukit Tunku Kuala Lumpur ke lokasi baharu iaitu Cinta Manis, Bentong, Pahang.

Perpindahan yang dijangka berlaku pada pertengahan tahun 2020 itu adalah bagi memberikan kemudahan rawatan dan pemulihan baharu yang lebih baik serta bertaraf antarabangsa.

Sehubungan itu, pertubuhan itu kini sedang giat mengumpul dana bagi membiayai pembinaan kemudahan-kemudahan di lokasi baharu seperti surau, dewan serbaguna dan klinik.

 

Justeru, bagi usaha tersebut, PENGASIH bakal menganjurkan konsert Malam Amal Pengasih pada 17 November 2019 bertempat di Hotel Istana Kuala Lumpur.

Dinaungi oleh Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, majlis itu bakal dimeriahkan dengan persembahan khas oleh Datuk Jamal Abdillah, Man Bai serta artis-artis undangan lain.

Malam amal tersebut memberi peluang kepada individu,  badan-badan korporat serta rakyat Malaysia untuk bersama-sama menyumbang bakti dalam mengurangkan masalah sosial yang dihadapi oleh negara.

Dengan sumbangan tersebut, PENGASIH bertekad untuk meningkatkan lagi mutu penyampaian perkhidmatan serta dapat memberi ’peluang kedua’ kepada lebih ramai insan yang memerlukan rawatan dan pemulihan alternatif secara sukarela.

Maklumat lanjut mengenai tempahan meja untuk malam amal tersebut serta sumbangan dana boleh didapatkan dengan menghubungi:

  1. Atiqah Yusuf (010-393 5140)
  2. Abdullah Ghani (011-2384 7617)
  3. Khairul Baharuddin (011-6074 7403)

Foto: Jon Ramlan