Jangan angkuh, jangan sombong

Agama Hafiz Firdaus 15-Apr-2020
Mengapa sombong? © Photobeps | Dreamstime.com

Keangkuhan adalah sifat yang tidak disukai oleh yang Maha Pencipta. Allah Maha Suci dan Maha Mulia memerintahkan dalam Al-Quran, surah ke 39 (Az-Zumar), ayat 72:

“(Setelah itu) dikatakan kepada mereka: Masukilah pintu-pintu neraka Jahannam itu dengan keadaan tinggal kekal kamu di dalamnya; maka seburuk-buruk tempat bagi orang-orang yang sombong takbur ialah neraka Jahannam.”

Kita belajar dari kisah Al-Quran, di mana Allah memerintahkan Iblis untuk sujud kepada Nabi Adam (AS) tetapi dia enggan melakukannya. Dia menunjukkan kesombongan dan mengatakan bahawa dia lebih baik daripada Adam yang diciptakan dari tanah liat sementara Iblis diciptakan dari api.

Tambahan pula, Nabi Muhammad (Selamat Sejahtera Kepada Baginda) yang kita sayangi bersabda, “Tidak ada seorang pun yang akan memasuki Syurga, yang mempunyai rasa sombong di dalam hatinya walau pun seberat biji sawi…” (koleksi hadis diriwayatkan oleh Sunan Ibn Majah, Kitab Sunnah, nombor 519 – hadis sahih)

Maka, kita dapat memahami betapa seriusnya perkara ini. Kita memohon kepada Allah agar mengurniakan kita Syurga dan kita berusaha untuk menggembirakanNya. Kesedaran bahawa seseorang yang sombong tidak akan mendapat Syurga patut membuat kita lebih waspada dan berhati-hati agar tidak menjadi dosa kepada kita.

Allah berfirman dalam Al-Quran, surah ke 16 (An-Nahl), ayat 23:

“Sebenarnya, bahawa Allah mengetahui akan apa yang mereka sembunyikan dan apa yang mereka zahirkan; sesungguhnya Ia tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur.”

Walaupun kadang kala ia adalah sesuatu yang tidak kita sedari mengenai diri kita atau sikap kita, kita harus berusaha mengelakkan diri daripada perasaan angkuh dan sombong. Dalam perjalanan kehidupan ini, kita sentiasa berjuang menghadapi kesulitan dan juga bekerja keras untuk menggembirakan Allah. Tuhan melihat kesemua usaha kita dan memberi ganjaran setimpalnya.

Seperti perintah Allah dalam Al-Quran, surah ke 7 (Al-A’raaf), ayat 146:

“Aku akan memalingkan (hati) orang-orang yang sombong takbur di muka bumi dengan tiada alasan yang benar dari (memahami) ayat-ayatKu (yang menunjukkan kekuasaanKu); dan mereka (yang bersifat demikian) jika mereka melihat sebarang keterangan (bukti), mereka tidak beriman kepadanya, dan jika mereka melihat jalan yang (membawa kepada) hidayah petunjuk, mereka tidak mengambilnya sebagai jalan yang dilalui.”

Ayat ini akan menyedarkan kita tentang akibat membiarkan diri tunduk pada kesombongan. Allah memberitahu jika bersikap sombong, kita akan terlepas pandang akan pesanan-pesanan dalam ayat-ayat Al-Quran.

Kita juga harus memastikan yang kita benar-benar percaya kepada Allah Maha Suci dan Maha Mulia. Tidak cukup buat kita dengan hanya bersembahyang dan membaca Al-Quran tanpa yakin sepenuhnya bahawa Allah adalah Tuhan semesta alam, dan Dia yang menguasai segala sesuatu. Allah mengatakan dalam Al-Quran, surah ke 40 (Al-Ghaafir), ayat 60:

“Dan Tuhan kamu berfirman, berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.”

Kadang-kadang, kesombongan kita berpunca daripada cara kita menilai orang lain. Melihat orang lain dan berfikir bahawa kita lebih baik daripada mereka apabila mereka melakukan sesuatu yang salah, akan lebih memudaratkan kita. Kita sendiri yang akan bernasib malang akibat sikap sebegini kerana cara berfikir inilah yang akan menjadikan kita terus sombong, angkuh dan menganggap diri kita lebih baik daripada orang lain.

Pada hakikatnya, kita tidak begitu. Setiap orang pasti melakukan kesalahan, dan kita semua diminta untuk memohon keampunan dari  Allah. Memohon pengampunan akan menjadikan kita lebih merendah diri dan menumpukan pada diri sendiri, dan tidak mencari kesalahan orang lain atau perasan yang kita adalah lebih baik daripada mereka.