Jangan berbangga dengan dosa

Kepercayaan Chan Abdullah 29-Apr-2020
Elakkan perlakuan dosa © Odua | Dreamstime.com

Secara fitrah, manusia memang lebih gemar untuk menyembunyikan perbuatan yang salah dan berdosa kerana malu diketahui orang lain. Namun, sekarang ini ramai yang sanggup menunjukkan perlakuan dosa tanpa sebarang rasa malu.

Malah ada yang berbangga dengan perbuatan dosa dan maksiat yang mereka lakukan. Ini bertentangan dengan lumrah dan fitrah manusia, membuktikan kebanyakan umat manusia ketika ini sedang sakit.

Allah SWT telah membantu menyembunyikan aib manusia daripada pengetahuan umum. Betapa pemurah dan penyayangnya Allah. Namun kita sebagai umat manusia sudah semestinya tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan dosa.

Justeru, kita sebagai hamba hendaklah menjauhkan diri daripada perbuatan yang boleh mendatangkan dosa. Sekiranya ada, perlulah kita melakukan perkara berikut dengan segera:

Bertaubat

Taubat datang daripada perasaan menyesal kerana perbuatan maksiat yang telah dilakukan. Seseorang yang telah melakukan perkara maksiat hendaklah berasa menyesal kerana telah melanggar perintah Allah SWT. Seterusnya, perlulah berazam untuk meninggalkan perkara tersebut dan cuba untuk tidak mengulanginya semula.

Menyembunyikan dosa

Setiap insan tidak terlepas daripada melakukan dosa. Setiap orang ada dosa masing-masing. Wajar bagi kita untuk menyembunyikan dosa-dosa tersebut. Dalam hadis riwayat Muslim r.a., seorang lelaki telah menghampiri Rasullullah SAW dan berkata:

“Wahai Rasulullah, aku mengubati seorang wanita di hujung bandar. Aku telah melakukan kepadanya (seks), cuma aku tidak menyetubuhinya. Inilah aku, maka hukumlah aku apa yang engkau mahu.”

Lalu Umar (Ibn Khattab) berkata kepadanya: “Allah telah tutupi keaibanmu (alangkah baik) jika engkau menutupi (keaiban) dirimu.” Nabi SAW tidak berkata apa-apa. Lalu lelaki itu bangun dan pergi.

Nabi SAW menyuruh seorang lelaki memanggilnya dan membaca kepadanya firman Allah SWT (maksudnya) “Dan dirikanlah sembahyang pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari malam. Sesungguhnya kebaikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.” (Surah Hud,  ayat 114).

Maka ada seorang bertanya: “Wahai Nabi Allah, ini khas untuknya sahajakah? Jawab Nabi SAW: “Bahkan untuk manusia keseluruhannya.”

Tidak berbangga dengan dosa yang kita lakukan

Sebagai seorang Muslim yang bertakwa, kita tidak seharusnya berbangga dengan dosa yang telah dilakukan. Dosa mendatangkan kemarahan dan kemurkaan Allah SWT. Maka bagaimana kita hendak mendapatkan keredaan Allah jika kita berbangga dengan dosa dan maksiat yang kita lakukan? Insan yang berbangga dengan dosa yang dilakukan akan sukar untuk meninggalkan perbuatan tersebut.

Jangan hanya melihat sesuatu perkara itu sebagai dosa dan maksiat. Tetapi seharusnya kita melihat, perintah siapa yang kita lawan. Apabila kita melakukan maksiat dan dosa, hakikatnya kita sedang melawan perintah Allah SWT.

Semoga kita terpelihara daripada terus melakukan perkara-perkara maksiat dan dosa.