Jangan berputus asa semasa krisis

Masyarakat Hanita Hassan
Hanita Hassan
Jangan berputus asa semasa krisis
Jangan berputus asa semasa krisis © harri thaha | Dreamstime.com

Semasa menghadapi sebarang krisis, kita hendaklah meletakkan sepenuh kepercayaan  dan bertawakal  kepada Allah SWT. Mungkin terdapat beberapa perkara yang berlaku di sekeliling kita yang membuatkan kita berasa bingung dan tidak yakin terhadap perkara yang akan berlaku.

Allah SWT mengurniakan kita kelebihan untuk menjangka apa yang bakal berlaku supaya kita boleh membuat persiapan.

Jangan berputus asa semasa krisis

Namun, jangan lupa bahawa walaupun kemampuan menjangka sesuatu tentang apa yang kita fikirkan mungkin boleh berlaku dan apa yang perlu kita lakukan berdasarkannya, semuanya adalah kurniaan Allah SWT. Sekiranya Allah menghendaki agar kita tidak bijak membuat ramalan, maka kita tidak boleh melakukannya.

Oleh itu, adalah penting bagi kita sebagai umat Islam untuk memperkukuh dalam hati dengan penuh keikhlasan bahawa Allah SWT merupakan satu-satunya yang berkuasa ke atas setiap perkara.

Kita hendaklah berhati-hati dalam meletakkan kepercayaan dan pergantungan  pada perkara duniawi. Sebagai contoh, kita mungkin melihat ramalan dibuat dan langkah berjaga-jaga dikeluarkan.

Sudah tentu  kita harus mengambil langkah berjaga-jaga dan melakukan apa yang perlu untuk membantu diri dan orang lain, tetapi akhirnya kita berserah kepada Allah SWT. Ini bererti kita perlu sentiasa beringat bahawa setiap keadaan boleh berubah mengikut ketentuan-Nya.

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.”

(Surah al-‘Ankabuut, ayat 20)

Islam mengajar kita meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Allah SWT. Kita bergantung kepada-Nya dan tidak membiarkan diri  terbiasa dan terikat dengan hal-hal duniawi, termasuk kehidupan ini mahupun dunia itu sendiri.

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki)-Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.”

(Surah ath-Thalaaq, ayat 2-3)

Allah SWT adalah sebaik-baik Pelindung 

Kita juga perlu berusaha sebaik mungkin agar tidak terlalu takut akan perkara-perkara yang berlaku di dunia ini sehingga melupakan Allah SWT.  Sesungguhnya Allah adalah Pelindung kita.

Pada akhirnya, dunia ini adalah tempat ujian dan bersifat sementara, justeru kita tidak boleh berasa takut atau tertekan dengan keadaan semasa yang boleh melemahkan keimanan. Kita tidak boleh membiarkan diri kita gagal dan berputus asa.

Kesukaran yang kita hadapi dan perjuangan yang kita lalui semuanya telah ditakdirkan oleh Allah SWT. Ia telah ditentukan Allah untuk kita diuji sepanjang hayat. Oleh itu, sebagai umat Islam, kita tidak seharusnya mempersoal ketentuan-Nya.

Kita mesti berusaha sebaik mungkin menerima setiap perkara yang menimpa diri dan ingat bahawa kita akan memperoleh ganjaran yang sangat besar berkat kesabaran yang kita lalui semasa kesukaran  ini.

Daripada Shuhaib r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Amat menakjubkan urusan seorang Mukmin kerana setiap urusannya adalah baik dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada seorang Mukmin (yang sempurna keimanannya). Jika dia mendapat sesuatu yang menggembirakan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.”

(Hadis riwayat Muslim, 2999)

Seterusnya, perkara yang paling penting untuk diingati sebagai seorang yang beriman adalah apabila kita menghadapi kesulitan, ia memberi peluang untuk meningkatkan tahap keimanan kita. Justeru, kita hendaklah menyedari bahawa hanya kepada Allah SWT sahaja tempat kita meletak pergantungan dan bertawakal sepenuhnya.