Jangan hampa kerana dosa

Psikologi Hagnas
Pendapat oleh Hagnas
Jangan hampa kerana dosa
Jangan hampa kerana dosa © Sigoisette | Dreamstime.com

Tiada siapa antara kita yang tidak pernah melalukan dosa, melainkan para Nabi yang telah terpelihara dari melakukan sebarang dosa. Inilah hakikat diri kita sebagai hamba Allah SWT yang perlu kita sedari.

Tiada yang sempurna di dunia ini, tiada juga di seluruh alam semesta, melainkan semuanya merupakan makhluk Allah Taala yang sentiasa memerlukan-Nya, bergantung kepada-Nya.

Buat baik hanya untuk orang baik?

Kita sebagai hamba Allah SWT dituntut melakukan kebaikan di dunia ini dalam rangka melaksanakan tugas kita sebagai hamba kepada-Nya. Namun Allah Maha Mengetahui bahawa kita sebagai manusia ini sebenarnya lemah dan tidak sunyi dari silap dan salah.

Justeru, kita sebagai manusia yang tidak sunyi dari dosa ini sememangnya dituntut untuk buat kebaikan. Kita disarankan untuk buat kebaikan, bukanlah kerana kita ini baik, tak pernah melakukan dosa.

Malah kita buat kebaikan untuk menunaikan tugas kita sebagai hamba-Nya bagi menyelamatkan kita di dunia dan di akhirat dan jika diizinkan Allah SWT, berjaya melangkah ke syurga-Nya.

Jika kita ingin menunggu saat kita suci dari sebarang dosa, barulah ingin kita lakukan kebaikan, nescaya saat itu tidak akan pernah kunjung tiba kerana secara lumrahnya kita manusia yang lemah  tidak akan sunyi dari salah.

Segeralah buat kebaikan, usah disekat oleh dosa silam

Jom segera berubah. Apapun kesalahan kita sebelum ini, kita tetap punya harapan menuju Ilahi. Bila kita lihat orang lain buat kebaikan, seperti menunaikan solat. Ketahuilah mereka juga sama seperti kita, insan biasa yang tidak ma’sum.

Mereka dan sewajarnya kita buat kebaikan bukanlah kerana kita ini baik, tetapi kerana kita ingin mengambil sebanyak mungkin kebaikan yang Allah SWT tawarkan buat kita semua.

Masih ingatkah lagi kita mengenai kisah lelaki yang membunuh 100 orang? Walaupun begitu besar dosa pembunuhannya beliau tidak pernah lemah semangatnya, hampa atau putus asa bertaubat dan kembali kepada-Nya. Akhirnya, beliau mati dan diterima sebagai orang yang mati dalam kebaikan.

Jangan sekali-kali hampa dengan dosa. Allah Maha Pengampun dan suka mengampunkan dosa hamba-Nya. Yang tinggal hanyalah kita. Keputusan di tangan kita untuk berubah, jangan nanti menyesal tidak sudah.