Jangan makan berlebihan!

Makanan Hagnas 27-Ogo-2020
Jangan makan berlebihan! © ActionGP | Dreamstime.com

Pengambilan makanan seimbang sangat penting dalam memenuhi keperluan nutrien yang diperlukan oleh badan dan ia merupakan cara kehidupan yang sihat.  Makan secara berlebihan memberikan banyak kesan negatif dalam kehidupan.

Tiada larangan dalam Islam untuk kita memakan makanan yang sihat. Dengan badan yang sihat dan kuat, kita lebih mudah untuk beribadah. Namun, makan makanan secara berlebihan atau pun membazir sangat tidak digalakkan.

Firman Allah SWT dalam surah al-A’raf, ayat 71: “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.”

Manakala dalam hadis daripada Miqdam bin Ma’di, Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah anak Adam memenuhi bekas yang lebih buruk dari perut. Cukuplah bagi anak Adam memakan beberapa suapan untuk menegakkan belakangnya. Namun jika dia mesti (melebihkannya), hendaklah sepertiga perutnya (diisi) untuk makanan, sepertiga untuk minuman dan sepertiga lagi untuk bernafas.” (Sunan Ibn Majah, Hadis 3349)

Hadis di atas menggalakkan pengambilan makanan secara bersederhana. Makan secara berlebihan boleh menyebabkan badan kita lemah. Berdasarkan pandangan ahli sains, 80% penyakit adalah disebabkan oleh makanan yang diambil. Hari demi hari, makanan yang tidak sihat menyebabkan ramai manusia meninggal dunia. Dengan mengubah cara pengambilan makanan, kita mampu mengurangkan sebanyak 23.8% atau 11.6 million kes mati lebih awal.

Diriwayatkan daripada  ‘Atiyyah bin ‘Amir Al-Juhani: Aku mendengar Salman dipaksa untuk memakan makanan, maka dia berkata, “Cukuplah bagiku, sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya manusia yang paling banyak kenyang di dunia adalah manusia yang paling lapar di hari Kiamat.” (Sunan Ibn Majah, Hadis 3351)

Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Nafi’: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Seorang mukmin itu makan dengan satu perut, sedangkan orang kafir makan dengan tujuh perut.” (Sahih Bukhari, Hadis No: 5393)

Diabetes atau kencing manis merupakan kesan utama makan secara berlebihan. Pengambilan makanan secara berlebihan dan tidak seimbang ini boleh menyebabkan lumpuh. Lemak yang menempel pada salur darah menyebabkan salur darah menjadi sempit sekaligus mengganggu proses peredaran darah dalam badan.

Lumpuh berlaku disebabkan penyempitan salur darah ke bahagian otak atau disebabkan salur darah pecah. Kesannya, sebahagian daripada tisu otak mengalami kerosakan disebabkan kekurangan bekalan oksigen. Otak yang mengawal anggota badan tidak berfungsi dan boleh menyebabkan lumpuh.

Makan berlebihan juga boleh menyebabkan proses penuaan lebih awal. Apabila  makan terlalu banyak, anggota badan tidak akan sihat, ini menyebabkan seseorang itu  menjadi lemah badannya sebelum usia tua.

Oleh itu, dalam setiap kehidupan kita termasuklah dalam hal memilih makanan, kita harus mengikuti cara Rasululullah SAW. Terbukti cara sunnah ini dapat menjaga kesihatan kita semua.