Jangan membandingkan: setiap orang watak utama di buku kehidupan mereka

Masyarakat 31 Dis 2020 Tari Basir
Tari Basir
Jangan membandingkan: setiap orang watak utama di buku kehidupan mereka
Jangan membandingkan: setiap orang watak utama di buku kehidupan mereka © Paulus Rusyanto | Dreamstime.com

Hanya tinggal kurang 24 jam lagi sebelum kita melangkah masuk ke tahun baharu 2021. Meskipun tidak banyak memori indah dalam tahun 2020 yang boleh dikenang dek penangan virus COVID-19, namun sekurang-kurangnya kita masih berpeluang menikmati nikmat-nikmat Allah SWT.

Tidak kurang juga, kita melihat rakan-rakan kita sama ada rakan sekolah mahupun universiti dahulu yang bergembira dengan nikmat-nikmat tersebut.

Jangan membandingkan: setiap orang watak utama di buku kehidupan mereka

Saban hari, penuh di media sosial kita dengan keindahan nikmat-nikmat yang telah mereka raih sepanjang tahun 2020 ini. Antaranya berkahwin, memiliki cahaya mata atau mendapat pekerjaan yang baik. Selaku rakan yang baik, sudah tentulah kita berasa gembira dengan rakan-rakan kita kerana berjaya mengecapi apa yang dihajati.

Namun, jauh di sudut hati kita, kita berasa sedih kerana masih lagi tidak berpeluang untuk mencapai kejayaan-kejayaan yang telah mereka gapai dalam tahun 2020 ini. Perasaan sakit itu kian membeliti hati apabila majoriti daripada mereka ialah rakan-rakan yang sebaya dengan kita, bersekolah atau memasuki universiti bersama.

Kita tertanya-tanya: “Mengapakah kita bermula di garisan permulaan yang sama, namun aku tertinggal jauh?” Pertanyaan yang timbul di sanubari kita ini mula mencambahkan kesedihan, dan akhirnya tumbuh segar sebagai pokok kesedihan yang subur.

Sudah tentu, bajanya datang daripada diri kita yang sudah mula membandingkan kehidupan kita dengan kehidupan rakan-rakan kita.

Bermula di garisan permulaan yang sama, namun tertinggal jauh?

Perasaan sakit ini sebenarnya bermula daripada soalan: “Mengapakah kita bermula di garisan permulaan yang sama, namun aku tertinggal jauh?” Perasaan sakit ini sudah tentunya menimpa golongan muda sekitar 20-an yang mendekati 30-an. Sudah ramai rakan satu sekolah dan universiti yang berkahwin, memiliki cahaya mata, kehidupan yang stabil dan lain-lain kenikmatan lagi.

Sedangkan diri kita, masih tidak berpeluang dan diizinkan oleh Allah SWT untuk menggapai kenikmatan tersebut. Malah kelihatannya jarak tangan kita masih jauh lagi untuk menggapainya tatkala majoriti rakan kita sudah memiliki sayap dan bebas terbang.

Tatkala majoriti rakan kita sudah berkahwin dan memiliki cahaya mata, kita masih berhempas pulas menghabiskan pengajian di menara gading. Tatkala majoriti daripadanya sudah bekerja dengan gaji yang lebih baik, kita hanya duduk di rumah bersama ibu bapa sambil menunggu kerja yang lebih baik.

Pokok kesedihan yang subur itu tadi akhirnya mula menjadi parasit yang memakan keimanan diri sendiri. Kita mula bermonolog kepada Pencipta akan ketidak adilan atau ketidak sayangan kepada kita. Mengapakah Allah SWT tidak meletakkan kita dalam saingan yang sama, sedangkan kita bermula di garisan permulaan yang sama?

Hidup kita belum sampai di garisan penamat

Hakikatnya, kita terlupa yang kehidupan kita masih belum sampai di garisan penamat. Bahkan, mungkin sebenarnya kita terlupa bahawa sebenarnya kehidupan kita bukanlah satu perlumbaan bersama rakan-rakan kita.

Kehidupan kita menjadi kelam dan penuh stress apabila kita menjadi watak sampingan dalam buku kehidupan rakan-rakan kita. Sedangkan, kitalah watak utama bahkan hero dalam buku kehidupan kita.

Jangan bersedih, dan jangan sesekali membandingkan kerana setiap orang ialah watak utama dalam buku kehidupannya. Kekal tenang, jangan pernah berhenti berusaha dan berdoa. Suatu hari, kita pasti akan tiba jua di checkpoint tersebut. Lambat atau cepat bukan ukuran, paling penting ialah peluang yang Allah SWT kurniakan untuk kita merasainya.