Jangan pening! Ini lima petua jaga anak sewaktu bekerja dari rumah 

Keluarga Md Wa'iz
Md Wa'iz
Jangan pening! Ini lima petua jaga anak sewaktu bekerja dari rumah 
Jangan pening! Ini lima petua jaga anak sewaktu bekerja dari rumah © Bangkok Click Studio | Dreamstime.com

Ramai daripada kita yang mungkin sedang bekerja dari rumah sewaktu pandemik COVID-19 ini. Tidak dinafikan, di sebalik fleksibiliti bekerja dari rumah itu, terdapat cabarannya yang tersendiri termasuklah isu penjagaan anak.

Lima petua jaga anak sewaktu bekerja dari rumah 

Apakah cara yang terbaik untuk menguruskan anak di rumah ketika mana anda juga perlu bekerja dari rumah? Ini tip-tipnya.

Tip 1: Buat jadual harian kerja anda

Sebelum memulakan hari anda seperti biasa, cuba fikir dahulu apakah yang akan anda lakukan pada hari ini. Berapa lamakah tempoh masa yang akan anda ambil untuk menyiapkan tugas tersebut. Adakah terdapat sebarang mesyuarat dalam talian yang perlu disertai.

Apabila anda sudah mengetahuinya dengan jelas, rangka jadual kerja anda yang sesuai dengan tugas harian penjagaan anak di rumah.

Tip 2: Guna kreativiti, tarik perhatian anak untuk melakukan sesuatu aktiviti

Anda pasti mengetahui apakah perkara atau aktiviti yang digemari oleh anak anda. Apabila anda mengetahui sesuatu perkara yang digemari mereka, gunakan perkara tersebut untuk mengalihkan perhatian mereka agar anda boleh terus bekerja.

Sebagai contoh, sediakan buku mewarna dan minta anak anda untuk mewarnakan buku tersebut. Berikan ganjaran kepada anak anda jika mereka berjaya mewarnakannya dengan baik.

Cara seperti ini boleh membuatkan anak anda lebih fokus melakukannya dan tidak mengganggu anda ketika bekerja dari rumah.

Tip 3: Manfaatkan waktu nap sebagai sebahagian daripada rutin penjagaan anak

Kanak-kanak mungkin lebih cergas dan aktif pada waktu pagi, namun agak keletihan apabila tiba waktu tengahari atau petang. Pada waktu mereka agak letih, ajak anak anda untuk tidur atau nap sebentar.

Apabila anak anda sudah tidur, pada waktu inilah anda  boleh menumpukan masa dengan sepenuhnya untuk menyiapkan kerja anda.

Tip 4: Bangun tidur lebih awal daripada anak anda

Katakanlah bahawa anak anda biasa bangun daripada tidur sekitar jam 8 atau 9 pagi. Maka, anda disarankan untuk bangun lebih awal daripada mereka.

Sebagai contoh, anda mungkin akan bangun sekitar jam 6 pagi untuk menunaikan Solat Subuh. Selepas melakukan Solat Subuh, anda boleh terus memulakan kerja anda sementara anak anda masih tidur.

Dengan cara ini, anda boleh bekerja dengan tenang dan tugasan kerja anda juga akan selesai lebih awal.

Tip 5: Siapkan tugas kerja anda mengikut keutamaan

Kita mungkin mempunyai beberapa tugas yang perlu disiapkan setiap hari. Namun, setiap tugas tersebut mempunyai tahap keutamaannya yang tersendiri.

Lakukan tugas yang terpenting terlebih dahulu dan ambil masa anda jika anda memerlukan waktu untuk melakukannya tanpa sebarang gangguan.

Selepas itu, anda boleh menyiapkan tugas yang kurang penting sambil memantau anak anda. Antaranya ialah seperti membalas email atau menyemak sesuatu dokumen.

Bertindak bijak ketika bekerja dari rumah

Kami memahami bahawa melaksanakan tugas penjagaan anak ketika bekerja dari rumah boleh menjadi sesuatu yang memenatkan. Namun, jika anda mengetahui kaedah atau cara untuk menguruskannya dengan bijak, maka anda boleh melakukannya dengan baik.

Ikuti lima petua atau tip yang telah kami kongsikan di atas ini dalam isu penjagaan anak ketika bekerja dari rumah.