Jangan Simpan 20 Makanan Ini Di Dalam Peti Sejuk

Kebiasaannya, kita menyimpan makanan atau bahan masakan yang masih berbaki di dalam peti sejuk bagi mengelakkan pembaziran atau memastikan makanan tersebut boleh bertahan lama.

Namun, tahukah anda bahawa tidak semua makanan boleh disimpan di dalam peti sejuk, terutamanya untuk tempoh yang lama.

Ini kerana ia boleh memudaratkan kesihatan atau menghilangkan zat yang terdapat pada makanan tersebut serta boleh merosakkan makanan itu.

Jadi, di sini kami kongsikan 20 jenis makanan yang perlu anda elakkan daripada menyimpannya di dalam peti sejuk anda.

 

1. Tembikai

Tembikai yang sudah dipotong boleh dibiarkan di atas meja makan tanpa sebarang masalah. Namun, jika anda ingin memasukkan tembikai yang telah dipotong ke dalam peti sejuk, bungkuskan ia dengan plastik agar ia tidak meresap rasa atau bau makanan lain. Jika tidak, ia hampir tidak boleh dimakan apabila ditinggalkan tanpa pembungkus di dalam peti sejuk.

 

2. Madu

Jika anda menyimpan madu di dalam peti sejuk, teksturnya akan bertukar menjadi berketul-ketul bagaikan butiran kristal, dan akhirnya menjadi keras seperti batu. Jadi, untuk mengekalkan tekstur asalnya, biarkan ia berada dalam keadaan asal pada suhu bilik.

 

3. Kopi

Cara terbaik untuk menyimpan kopi adalah di dalam bekas kedap udara pada suhu bilik. Ini kerana apabila berada dalam suhu yang sejuk, kopi akan kehilangan rasanya serta menghasilkan proses pemeluwapan yang boleh merosakkan kopi kisar. Kelembapan adalah tidak baik untuk kopi kisar atau biji kopi.

 

4. Labu

Apabila disimpan di dalam peti sejuk, labu akan mengumpul kelembapan yang akan menyebabkannya menjadi cepat reput. Bagaimanapun, adalah penting untuk anda menyimpan labu dalam keadaan sejuk, namun di tempat yang kering. Oleh itu, bungkus sekeping cardboard (sebagai penyerap lembapan) dan simpan labu anda di pantri makanan atau dapur.

 

5. Bawang

Sebelum memotong bawang, biarkan sahaja ia pada suhu bilik kerana apabila disejukkan, ia cenderung menyerap lembapan dan tidak menarik untuk dimakan. Ini kerana pelembapan akan mempercepatkan proses pereputannya. Namun, sekiranya selepas dipotong dan masih perlu menyimpannya di dalam peti sejuk, masukannya ke dalam pembungkus plastik dan simpan di tempat penyimpanan sayuran.

 

6. Nutella

Makanan yang terkenal dan disukai ramai ini tidak boleh dimasukkan ke dalam peti sejuk. Jika anda berbuat demikian, ia akan menjadi sangat pekat sehingga sukar disapu pada roti selain akan kehilangan banyak rasa coklatnya. Oleh itu, pastikan ia disimpan di pantri dan anda boleh menikmati rasa coklat berkrim yang digemari itu.

 

7. Minyak zaitun

Tahukah anda bahawa minyak zaitun suka akan suasana yang gelap? Itu merupakan salah satu sebab mengapa ia sering dijual dan diletakkan di dalam balang atau botol yang gelap. Walaupun peti sejuk kita sebenarnya berkeadaan gelap hampir sepanjang masa, namun suhu sejuknya boleh menyebabkan minyak zaitun menjadi keras. Bagi minyak zaitun yang asli, penyejukan sebenarnya boleh menjejaskan rasanya, dan anda pasti tidak mahu kualiti sebegitu.

 

8. Herba

Ramai orang beranggapan bahawa herba perlu disimpan di dalam peti sejuk agar ia tahan lebih lama. Namun sebenarnya semua itu tidak benar kerana herba perlu kekal kering, dan apabila disejukkan, ia akan mengumpul lembapan. Oleh itu, untuk mendapatkan hasil terbaik, potong dari bahagian bawah herba segar dan letakkannya di dalam balang berisi sedikit air.

 

9. Tomato

Ya! Tomato tidak sepatutnya disimpan di dalam peti sejuk. Apabila anda menyimpannya di situ, anda sebenarnya merosakkan tomato itu kerana bukan sahaja ia akan kehilangan rasa aslinya, malahan akan memecahkan molekul, dan akibatnya tomato tersebut tidak pejal lagi. Letakkan sahaja tomato mentah di tepi tingkap untuk hasil yang terbaik dan makanlah semasa ia dalam keadaan segar.

 

10. Sos tomato

Sos tomato mengandungi cuka, sejenis bahan pengawet semulajadi yang akan membuatkan sos anda segar tanpa perlu berada di dalam peti sejuk.

 

11. Tuna di dalam tin

Tuna di dalam tin harus disimpan di pantri atau kabinet. Jika anda memasukkannya ke dalam peti sejuk, ia mudah terdedah kepada karat. Jika anda menyimpannya di tempat yang kering, ia boleh bertahan sehingga lima tahun! Walau bagaimanapun, selepas anda membukanya, anda perlu mengeluarkannya dari bekas tin dan simpannya di dalam peti sejuk.

 

12. Roti

Tahukah anda bahawa roti akan menjadi basi jika terus sejuk? Biarkan sahaja ia berada di atas meja pada suhu bilik, dan jangan lupa untuk memakannya sebelum tarikh luput ya!

 

13. Kentang

Satu lagi fakta yang anda perlu tahu adalah kentang sering disimpan di bawah tanah atau di bawah pantri bagi tukang masak yang mahir. Ia kerana apabila kentang disimpan di dalam peti sejuk, ia akan menjadi sangat lembap dan tidak berkualiti untuk dimasak kerana kanjinya telah pecah.

 

14. Epal

Anda mungkin suka epal yang sejuk, tetapi sebenarnya, ia mampu bertahan selama beberapa minggu jika dibiarkan di atas meja atau kabinet dapur anda. Suhu dan kelembapan yang terlalu sejuk akan menyebabkan epal masak lebih cepat.

 

15. Avokado

Satu cara yang bagus supaya avokado yang mentah menjadi masak adalah dengan membiarkannya berada di bahagian tepi tingkap. Oleh itu cubalah, dan jangan membuatnya kekal mentah dengan meletakkannya di dalam peti sejuk!

 

16. Sos pedas

Untuk sos yang pedas, jangan sesekali anda menyejukkannya. Suhu sejuk akan menghilangkan rasa pedas sos tersebut. Sebaliknya, simpanlah sos pedas yang berasaskan cuka ini di pantri untuk mengekalkan kepedasan semula jadi.

 

17. Jeruk

Seperti sos tomato, jeruk dibotolkan dengan sejumlah cuka yang cukup agar ia dapat disimpan selama bertahun-tahun! Jadi pilihan di tangan anda sendiri, untuk simpan di dalam peti sejuk dan ia menjadi kurang berkualiti atau nikmati jeruk rangup dan berjus setiap hari.

 

18. Bawang putih

Bawang putih akan bertambah masak dengan kadar yang lebih cepat di dalam peti sejuk dan akan mempengaruhi rasa makanan anda. Bawang putih memerlukan persekitaran yang berudara atau ia akan cepat rosak.

 

19. Pisang

Jadi, kebanyakan orang tidak menyimpan pisang di dalam peti sejuk kerana ternyata ada alasan yang baik! Apabila pisang disejukkan, bukan sekadar kulitnya berubah menjadi warna coklat, malahan ia akan jadi terlebih masak dan sangat lembut hingga tidak menyelerakan untuk ditelan.

 

20. Rempah

Seperti makanan beraroma yang lain, suhu sejuk dan kelembapan akan memecah dan menghilangkan rasa dalam rempah. Oleh itu, untuk mendapatkan hasil masakan yang terbaik, simpanlah rempah pada suhu bilik.

Penulisan ini dipetik daripada artikel bertajuk “Jangan Letak 20 Makanan Ini Di Peti Sejuk” oleh World Storify

 

Foto: Bruno Scramgnon, Buenosia Carol, Dids, Edoardo Colombo, Icon0.com, Irina Iriser, Janko Ferlic, Mali Maeder & Pixabay (Pexels)