Jasa bukan untuk dibangga

Pendidikan Hagnas
Terkini oleh Hagnas
Jasa bukan untuk dibangga
Jasa bukan untuk dibangga © Andrii Zastrozhnov | Dreamstime.com

Ramai tokoh yang kita kenali, bukanlah semata-mata kerana nama, tetapi kerana jasa.  Nama mereka mekar dalam sejarah disebabkan kebaikan dan pengorbanan mereka sewaktu masih hidup.

Tidak sedikit juga manusia yang banyak berjasa tetapi tidak begitu dikenali nama mereka. Namun, jasa mereka begitu bermakna. Malah, disebut-sebut jasanya hingga pada saat ini.

Adakah kita berjasa kerana nama?

Tindakan ramai manusia yang mengakui dan mengiktiraf jasa  orang lain merupakan suatu tindak balas yang tabi’i sebagai insan, dan ini bukanlah termasuk dari perkara yang tercela.

Manusia yang punya akal dan hati yang sihat lagi sejahtera tidak akan berasa berat untuk mengucapkan terima kasih dan menghargai orang lain yang berjasa kepadanya.

Namun, situasi berbeza sekiranya orang yang berjasa itu telah meletakkan sedari awal lagi tujuan beliau. Berjasa itu ialah untuk mendapatkan nama mahupun kebanggaan. Justeru amat wajar untuk diletakkan dan dipasangkan niat yang tepat.

Alhamdulillah, kita semua diuji oleh Allah Taala dengan ujian yang sesuai buat diri kita. Allah Maha Mengetahui tentang kemampuan kita. Malah dalam usaha kita melakukan jasa dan kebaikan,

Jasa yang tidak wajar dibangga

Allah SWT telah memberikan panduan yang sangat bermakna agar kita dapat melakukan kebaikan dan jasa dengan sebaik-baiknya. Malah Allahlah yang memiliki dan menguasai segala apa yang kita miliki termasuk hati, mata dan kaki kita semua.

Justeru wajarkah kita mendabik dada kita dengan segala bentuk kebaikan dan jasa kita selama ini? Tentunya tidak kerana hakikatnya segala kebaikan kita kesemuanya dapat kita lakukan hanya dengan izin Allah SWT.

Segala jasa yang kita lakukan sewajarnya diikhlaskan semata-mata kerana Allah Taala. Jika jasa kita itu dibuat kerana nama, atau untuk dibangga semata-mata, maka bagaimana mungkin kita mengharapkan pahala dariNya?

Ini tentunya akan menatijahkan amal kebaikan yang sia-sia tanpa makna. Jasa yang kita lakukan dengan tujuan untuk dibanggakan selalunya tidak akan bertahan lama. Bahkan kita tidak akan mudah kecewa sekiranya jasa kita tidak didendang oleh manusia.

Oleh itu, tuluskan niat kita dalam setiap amal dan jasa kita. Hanya Allah SWT sahaja yang mampu membalas amal dan jasa kita dengan sebenar-benarnya, di dunia mahupun di akhirat sana.