Jauhi 10 sifat munafik

Sahsiah Zalina Majid 24-Ogo-2020
Jauhi 10 sifat munafik © Soleg1974 | Dreamstime.com

Munafik adalah sifat yang paling ditakuti. Bimbang, dalam tidak sedar kita tergolong di kalangan orang yang munafik, nau’zubillah. Dalam Islam, orang yang munafik adalah orang yang berpura-pura dengan menzahirkan keislamannya sedangkan ia bersembunyi dengan kekufuran.

Ini membuatkan kita sukar untuk mengenalinya di antara Muslim lainnya. Namun golongan yang munafik ini memiliki sifat yang dapat kita ketahui. Di senaraikan di sini 10 sifat golongan munafik yang boleh kita sama-sama dikenali.

Tidak menepati janji

Jika tidak amanah, sudah tentu tidak akan menepati janji. Walaupun ia telah berjanji bahkan bersumpah, ia akan merasa berat menepati janjinya.

Kedekut dan bakhil

Al-Munafikun ini begitu berkira-kira untuk membelanjakan harta mereka ke jalan Allah SWT. Bagi mereka tindakan itu satu kerugian yang besar.

Berburuk sangka pada keesaan Allah SWT

Sikap kepura-puraan mereka menunjukkan mereka tidak yakin dengan kekuasaan Allah Azzawajalla. Selalu sangat berprasangka kepada Allah dan Rasulullah SAW.

Khianat

Mereka ini boleh sahaja mengkhianati amanah yang dipertanggungjawabkan. Golongan ini tidak akan boleh menjadi pemimpin yang baik kepada mana-mana komuniti atau organisasi.

Menghina Nabi Muhammad SAW

Orang munafik suka menghina dan mengejek Baginda SAW. Mereka tidak akan menghina secara terang-terangan. Namun mereka tidak akan mengikut sunnah Nabi SAW bahkan mengejek dan memperlekehkan dalam diam.

Mempersendakan agama

Tanpa rasa bersalah atau malu mereka mempermainkan agama dengan sengaja. Seperti melukis gambar atau kartun yang mencela agama Islam. Bahkan memberikan jawapan bahawa apa yang dilakukan hanyan sekadar gurauan.

Menjadikan orang kafir sebagai teman rapat

Kebiasaan mereka tidak bergaul dengan orang-orang soleh. Golongan ini lebih banyak mendekatkan diri kepada musuh Allah SWT. Mereka menganggap musuh Allah itu mampu memberi keuntungan dan perlindungan, padahal perkara itu tentu sekali tidak akan berlaku.

Dengki

Orang munafik menyusun strategi memburukkan orang lain. Sedangkan dia hadapan orang ia bermuka-muka membuat kebaikan. Allah SWT bermaksud dalam firman-Nya: “Atau apakah orang yang ada penyakit dalam hatinya mengira bahwa Allah tidak akan menampakkan kedengkian mereka?” (Surah Muhammad, ayat 29)

Suka berbohong

Daripada Abu Hurairah r.a, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: “Tanda-tanda orang munafik ada tiga, iaitu apabila dia berbicara dia dusta, apabila dia berjanji tidak ditepati dan apabila diberi amanah dia khianati.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim) Janganlah sifat ini terdapat dalam diri kita dan jauhilah dari kebiasaan suka berbohong. Berbohong merendahkan harga diri kita dan tidak akan dipercayai orang.

Malas beribadah

Orang munafik sebenarnya hanya beribadah apabila ada orang lain melihatnya. Hakikatnya mereka sangat malas dalam beribadah, terutama solat. Allah SWT berfirman dalam  surah an-Nisa’, ayat 142: “Sesungguhnya orang-orang munafik itu menipu Allah, dan Allah akan membalas tipuan mereka. Dan apabila mereka berdiri untuk solat mereka berdiri dengan malas. Mereka bermaksud riya (dengan solat) di hadapan manusia. Dan tidaklah mereka menyebut Allah kecuali sangat sedikit.”