Jauhi perasaan buruk sangka

Sahsiah Abi Aasim 13-Jul-2020
Sentiasa bersangka baik walau di mana anda berada © Grace5648 | Dreamstime.com

Sebagai seorang Muslim, seharusnya kita menjauhkan diri saripada sifat buruk sangka kepada manusia. Sifat buruk sangka ini adalah salah satu sifat mazmumah yang tidak disukai oleh Allah SWT. Apabila timbulnya buruk sangka dalam diri, maka sudah tentu rasa ingin mencari kesalahan seseorang itu muncul hingga tidak lagi mempedulikan aib dan kekurangan individu tersebut.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat, ayat 12: “Wahai orang-orang yang beriman ! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain . Adakah seseorang  dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima Taubat lagi Maha Mengasihani.”

Melalui kemajuan teknologi zaman sekarang, pelbagai akses ke dalam aktiviti seharian dan kehidupan orang ramai mudah untuk diketahui. Perkongsian aktiviti di laman-laman media sosial terkenal seperti Facebook, Instagram dan Twitter begitu mudah diakses oleh sesiapa sahaja. Keadaan ini meningkatkan lagi terjadinya sifat cemburu dan prasangka sesama sendiri.

Lebih menyedihkan apabila ada individu yang berkongsikan kisah manis kehidupan mereka dan pengalaman mereka membantu orang yang memerlukan disalah tafsir dan dikecam oleh warga internet. Sebagai seorang Muslim, seharusnya kita selalu mendoakan kesejahteraan buat saudara-saudara Muslim yang lain. Elakkan dari berburuk sangka dan mencari kesalahan orang lain.

Dengan pelbagai capaian maklumat yang mudah diperolehi kini, ramai warga internet yang bertindak sewenang-wenangnya menghina dan mencerca individu tertentu melalui berita yang diterima tanpa sebarang usul periksa.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat, ayat 6: “Hai orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti supaya kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.”

Akibat buruk sangka, banyak perkara negatif akan terjadi. Keruntuhan rumah tangga, perpecahan bangsa dan negara serta terputusnya silaturrahim sesama umat Islam adalah salah satu daripada kesan negatif buruk sangka. Islam menggalakkan umatnya supaya mendahulukan bersangka baik (husnuzon) daripada cepat bersangka buruk. Hukuman tidak harus dijatuhkan hanya berdasarkan kepada sangkaan.

Berhati-hatilah dalam kehidupan kita sehari-hari termasuklah pergaulan dan perbuatan kita di media sosial. Elakkan perasaan iri hati dan buruk sangka sesama kita. Insya-Allah, keharmonian dan kesejahteraan hidup sesama masyarakat pasti akan dicapai. Malah, hati kita juga akan menjadi lebih tenang.