Jelajah Mini Showcase Alif Satar Buah Tangan Untuk Peminat

Para peminat Alif Satar pastinya sudah lama menyimpan hasrat untuk menyaksikan persembahan eksklusif artis serba boleh itu dalam mana-mana konsert mini atau showcase.

Kini, impian anda itu akan menjadi nyata kerana Alif Satar sedang mengadakan siri Jelajah Mini Showcase Alif Satar yang bakal berlangsung di beberapa lokasi di seluruh negara.

Dipersembahkan secara eksklusif oleh Petron Malaysia, Jelajah Mini Showcase Alif Satar adalah khas buat ahli Petron Miles dan peminat setia Alif Satar.

Telah pun bermula di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur pada 14 September yang lepas, siri jelajah itu seterusnya bakal diadakan di Pulau Pinang pada 28 September, Kota Kinabalu pada 12 Oktober dan Melaka pada 20 Oktober.

Pada program tersebut, para peminat berpeluang menyertai sesi meet and greet istimewa bersama Alif Satar serta beberapa permainan dan aktiviti menarik, serta peluang buat peserta bagi memenangi barangan eksklusif daripada Petron, Enrich dan Alif Satar.

Selain itu, mereka yang menghadiri Jelajah Mini Showcase Alif Satar itu juga secara automatiknya akan layak bertanding dalam peraduan Fuel & Fly Petron dan Enrich ke New Zealand bersama Alif Satar.

“Kami sangat teruja untuk bekerjasama dengan Alif Satar dan memberikan peminat beliau serta pelanggan setia kami peluang untuk mengenali salah seorang artis popular di Malaysia.

“Kami mahu memberikan pengalaman yang terbaik kepada pelanggan, dan memastikan perjalanan mereka bersama kami lebih bermanfaat,” kata Ketua Dagangan Runcit dan Komersial Petron Malaysia, Choong Kum Choy.

Untuk mendapatkan pas VIP eksklusif ke Mini Showcase Alif Satar, ahli Petron Miles perlu mengisi minyak sebanyak RM250 secara terkumpul dan menghantar resit bayaran mereka bersama-sama dengan butiran peribadi dan borang peraduan mereka.

Penyertaan peraduan telah dibuka pada 1 September 2019.

Sementara itu, promosi Fuel & Fly akan berlangsung sehingga 15 Oktober 2019.

Pemenang dan peneman mereka akan meluangkan selama 6 hari dan 5 malam di New Zealand bersama Alif Satar.

Promosi Fuel & Fly disampaikan bersama oleh Petron Malaysia dan Enrich Malaysia Airlines.