Jenama tempatan yang mungkin disangka antarabangsa

Perniagaan Chan Abdullah 15-Jun-2020
Jenama Baba's © facebook.com/BabasAndU

Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia telah dilancarkan pada tahun 1998. Kempen ini bertujuan mewujud dan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kualiti barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan di Malaysia setaraf dengan piawaian antarabangsa.

Kempen ini kini telah dijenamakan semula sebagai Kempen Beli Barangan Malaysia. Masih ramai mempunyai persepsi bahawa barangan luar negara adalah lebih berkualiti. Tidak semestinya!

Terdapat banyak barangan keluaran tempatan yang mendapat sambutan hangat di peringkat antarabangsa. Malah anda juga mungkin pernah tersilap menyangkakan jenama tersebut adalah jenama antarabangsa. Berikut adalah beberapa jenama tempatan yang mungkin disalah sangka sebagai jenama antarabangsa.

Brahim’s

Pengilang produk Brahim ialah Dewina Food Industries Sdn Bhd yang telah ditubuhkan pada tahun 1986. Ia telah dimulakan oleh Datuk Haji Ibrahim bin Haji Ahmad Badawi, bekas pensyarah universiti dan pakar dalam perundingan dan penyelidikan makanan dan pertanian, bersama seorang usahawan Jepun bernama Tatsunobu Abe. Ia bermula sebagai pembekal makanan ransum ketenteraan (military rations) kepada tentera serantau dan juga  pasukan  Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN). Secara beransur-ansur, Brahim’s beralih ke pasaran komersial yang lebih stabil dan terus mendapat tempat dan kesedaran jenama yang kuat di pasaran Malaysia, serantau dan di seluruh dunia.

Baba’s

Jenama terkenal rempah ratus di Malaysia ini sering kali disalah anggap sebagai jenama dari negara India. Sebenarnya jenama ini adalah merupakan milik rakyat Malaysia. Menurut maklumat yang diperolehi daripada lama web Baba’s, pengasasnya adalah seorang pemuda berumur 30-an yang menjual keperluan memasak seperti bahan kering dan rempah ratus, dan kemudian mendapat permintaan yang tinggi terhadap rempah ratus. Akhirnya demi memenuhi keperluan pelanggan, beliau mencampur sendiri rempah ratus melalui teknik cuba jaya. Begitulah bagaimana perniagaan dan jenama Baba’s ini bermula. Kini jenama Baba’s gah memasarkan produk mereka sehingga ke Kanada, Australia, China, Fiji, United Kingdom dan pelbagai negara lagi.

Beryl’s

Jenama coklat terkenal ini sebenarnya adalah produk keluaran tempatan. Jenama Beryl’s mudah didapati di kawasan bebas cukai seperti lapangan terbang, Labuan dan juga Langkawi. Oleh kerana itu ia sering disalah anggap sebagai jenama luar negara. Jenama ini telah ditubuhkan pada 1995 di bawah Syarikat Beryl’s Chocolate & Confectionery Sdn Bhd. Salah satu tempat tumpuan lawatan pihak sekolah bersama anak murid pastinya Muzium Coklat Beryl’s di Seri Kembangan. Jenama Beryl’s kini turut gah di pasaran Singapura, Jepun, New Zealand dan pelbagai negara lain.

Bonia

Jenama ini memang sinonim dengan beg tangan wanita. BONIA Cooperation Berhad telah ditubuhkan pada 1974. Produk jenama kulit eksklusif ini diinspirasikan daripada hasil rekaan Itali, iaitu dari karya-karya seni di Giambologna, Itali. Sebagai jenama fesyen antarabangsa, Bonia mempunyai lebih daripada 700 kedai jualan di seluruh Asia. Antara jenama lain yang bernaung di bawah label Bonia ialah Sembonia dan Carlo Rino.

Jangan pandang jenama tempatan sebelah mata sahaja selepas ini. Bagi jenama barangan makanan yang halal buatan Malaysia, alhamdulillah kerana para pengguna Muslim boleh menggunakannya tanpa was-was. Marilah menyambut seruan kerajaan untuk beli barangan buatan Malaysia.

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!