Jenis-jenis talak dalam penceraian

Agama Abi Aasim 26-Ogo-2020
Jenis-jenis talak dalam penceraian © Paulus Rusyanto | Dreamstime.com

Setiap insan mengimpikan perkahwinan mereka melalui pernikahan yang sah berpanjangan hingga ke akhir usia. Namun tak semua miliki tuah. Atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan akhirnya ikatan perkahwinan yang dibina terputus di tengah jalan. Oleh sebab itu disyariatkan penceraian.

Walaupun begitu penceraian merupakan jalan akhir bagi pasangan yang menghadapi konflik rumah tangga dan gagal mencapai kata sepakat. Ini kerana perceraian memberi kesan buruk bukan saja kepada pasangan suami isteri tetapi kepada anak-anak, keluarga terdekat dan masyarakat.

Perkahwinan terputus melalui dua cara iaitu fasakh dan penceraian. Penceraian berlaku apabila suami melafazkan cerai atau talak ke atas isteri sama ada berniat berbuat begitu atau tidak.

Terdapat beberapa jenis talak iaitu:

Talak Rajie

Talak Rajie ialah talak yang dilafazkan oleh suami ke atas isterinya dan dia berhak untuk rujuk kembali bersama isterinya di dalam tempoh iddah. Talak satu dan dua termasuk di dalam Talak Rajie. Talak dua boleh dilafazkan sekaligus atau pun dilafazkan talak satu demi satu.

Talak Bain

Talak Bain ialah talak yang dilafazkan oleh suami kepada isterinya di mana apabila terlafaznya talak tersebut, suami tidak boleh rujuk kembali dengan isteri.

Suami hanya boleh merujuk dengan bekas isterinya apabila isterinya berkahwin dengan lelaki lain, dan disetubuhinya dan kemudian menceraikan bekas isterinya tanpa paksaan sesiapa dan hanya melalui kerelaan hatinya sendiri. Apabila tamat tempoh iddahnya, barulah bbekas suami pertama boleh menikah kembali dengan bekas isteri  dengan akad nikah yang baru dan membayar mas kahwin yang baru.

Talak Bain terbahagi kepada dua iaitu Talak Bain Sugra dan Talak Bain Kubra.

Bain Sugra: berlaku apabila pasangan berkahwin bercerai sebelum melakukan persetubuhan dan bercerai melalui khulu’. Suami tidak boleh rujuk isteri semasa iddah tetapi boleh mengahwini isteri dengan akad dan mas kahwin yang baharu.

Khulu’ ialah lafaz cerai yang dilafazkan suami ke atas isterinya dengan mendapat gantian yang diberikan oleh isteri atas sebab suami bersetuju menceraikan isteri. Khulu’ hendaklah dengan kerelaan hati isteri dan bukan paksaan daripada mana-mana pihak.

Hukum Khulu’ adalah harus bagi isteri yangtidak tahan lagi bersama suaminya tas sebab-sebab tertentu yang boleh membawa kemudaratan ke atas isteri. Namun hukumnya adalah makruh jika isteri meminta cerai dari suami tanpa apa-apa sebab yang munasabah.

Bain Kubra: berlaku apabila pasangan telah bercerai dengan talak tiga. Pasangan ini tidak boleh rujuk atau bernikah semula buat selama-lamanya, melainkan isteri tersebut menikahi lelaki lain dan mereka hidup sebagai suami isteri yang sah. Jika ditakdirkan isteri ini berpisah atau suaminya yang kedua itu meninggal dunia, maka barulah suami pertamanya berhak menikahi bekas isterinya ini.

Walaupun dihalalkan oleh syariah, namun penceraian bukanlah sesuatu yang harus dipandang ringan. Perkahwinan adalah sebuah perkongsian hidup antara dua insan dan keluarga mereka. Ekesannya bukan sekadar kepada pasangan tetapi kepada anak-anak dan keluarga mereka.

Memang tidak setiap masa akan indah dan manis dalam perkahwinan. Ada masam pahitnya dan ada turun naiknya. Namun perkahwinan adalah satu ikatan antara kedua pihak. Jadi kedua-dua suami dan isteri harus bekerjasama untuk memastikan ikatan ini terpelihara hingga akhir usia dan ke syurga Allah SWT yang hakiki kelak.