Jihad harta dan sikap memberi semasa Ramadan

Kepercayaan Hanita Hassan 28-Apr-2020
Memberi di bulan Ramadan © Ishark Talar - Dreamstime.com

Ramadan adalah bulan rahmat serta bulan kesabaran.  Ia juga bulan untuk kita berlumba-lumba mendapatkan kebaikan dan pahala. Oleh kerana banyaknya keistimewaan dan kelebihan Ramadan sepertimana yang disebut di dalam al-Quran, maka ia mendapat gelaran sebagai Penghulu segala bulan.  Dalam Ramadan, kita diwajibkan berpuasa, menunaikan zakat fitrah, solat sunat tarawih, lailatul qadar, nuzul al-Quran, tazkirah, iktikaf dan banyak lagi.

Ramadan juga adalah bulan untuk berdakwah, untuk kita menghidupkan agama dan  meningkatkan kasih sayang serta berpesan-pesan sesama insan. Apabila kita menyayangi keluarga kita, menghargai jiran tetangga, membantu mereka yang dalam kesusahan, itu tandanya hati kita hidup.  Begitulah sebaliknya.  Hati akan mati apabila kita kasihkan dunia, lalai daripada mengingati Allah SWT serta melebihkan makan dan bergelumang dengan maksiat.

Daripada Zaid bin Khalid al-Juhhani r.a, daripada Nabi SAW sabdanya, “Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa, ia akan mendapat pahala seperti orang yang berpuasa itu dan pahala orang yang berpuasa itu tidak berkurangan walau sedikitpun.”  (At-Tirmidzi)

Setiap detik keberadaan kita di dalam bulan mulia ini akan dilimpahi dengan pahala yang tidak terhitung banyaknya. Usah bimbang mengeluarkan harta dalam bentuk zakat, infak dan sedekah fisabilillah (di jalan Allah) kerana ia tidak akan mengurangi harta yang ada tetapi digandakan Allah SWT.

Sikap memberi adalah sikap orang mukmin sejati. Semakin banyak kita memberi semakin banyak yang kita akan perolehi tanpa sedar.  Harta kita semakin banyak, hidup lebih tenang, keluarga sempurna kerana keberkatan daripada sedekah yang kita lakukan.

Pepatah ada menyebut:  “Tangan yang di atas lebih baik daripada yang di bawah”.  Maksudnya membantu orang lebih baik dan pahalanya berkali ganda daripada meminta-minta.  Sikap memberi amat digalakkan terutama dalam bulan penuh keberkatan ini.  Memberi makan kepada orang yang berpuasa, yang fakir mahupun miskin dan anak yatim menghasilkan ganjaran yang besar pahalanya.

Abdul Rahman bin Auf r.a., salah seorang daripada 10 orang yang dijanjikan syurga telah mengucap dua kalimah syahadah dua hari selepas Saidina Abu Bakar as-Siddiq r.a. memeluk Islam. Meskipun Abdul Rahman menerima 20 luka teruk semasa peperangan Uhud, namun jihad hartanya lebih hebat jika dibandingkan jihad peperangan.

Ketika Rasulullah SAW ingin mengutuskan angkatan perang dan menyeru para sahabat bersedekah, Abdul Rahman bin Auf segera mengambil wang simpanannya dan menyerahkan 2,000 dinar daripada 4,000 dinar yang ada dalam simpanannya.  Selebihnya disimpan untuk modal perniagaannya.

Melihat akan sikap Abdul Rahman bin Auf, Rasulullah SAW berkata:  “Mudah-mudahan Allah memberkati pada apa yang telah engkau berikan dan mudah-mudahan juga Allah memberkatimu pada harta yang engkau simpan.”

Justeru, marilah kita merebut peluang Ramadan untuk mendapat pahala.  Sekiranya kita tidak mampu menginfakkan harta, berilah makan kepada orang yang berbuka puasa walaupun dengan sebiji kurma.

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang maksudnya:  “Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga.”  (Surah at-Taubah, ayat 111)

Selamat menunaikan ibadah puasa.