Buletin SalamWebToday
Daftar untuk mendapatkan artikel SalamWeb Today setiap minggu!
Maafkan kami, ralat berlaku disebabkan oleh:
Dengan melanggan, anda bersetuju dengan Syarat dan Dasar Privasi SalamWeb
 Seni Buletin

Jihad melawan hawa nafsu

Islam 19 Nov 2020
Jihad melawan hawa nafsu
Jihad melawan hawa nafsu © Paulus Rusyanto | Dreamstime.com

Jihad melawan hawa nafsu – nafsu adalah anugerah Allah SWT kepada manusia.  Nafsu boleh dikawal dengan syarat kita menyalurkannya ke jalan yang betul dan diredai-Nya. Menentang hawa nafsu tidak bermaksud menolak semua bentuk kesenangan dan kenikmatan dunia.

Melawan dan mengawal hawa nafsu adalah semata-mata supaya kita tidak terjerumus ke lembah maksiat.

Jihad melawan hawa nafsu

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Musuhmu yang paling ganas ialah nafsumu sendiri yang berada antara dua sisimu.”

(Hadis riwayat al-Baihaqi)

Dalam kitab Ihya Ulumuddin, Imam al-Ghazali menukilkan bahawa di antara tanda kecintaan hamba kepada Allah SWT ialah seseorang itu mengutamakan perkara yang disukai-Nya daripada kehendak nafsu serta peribadi, sama ada dalam aspek zahir mahupun batin.

Solat adalah perkara utama yang ditekankan dalam al-Quran untuk membolehkan kita melawan hawa nafsu.  Setiap kali kita melakukan solat, mendorong kita berbuat kebaikan dan menentang kejahatan serta maksiat. Setiap kali kita melakukan solat, kita meletakkan sepenuh pengharapan kepada Allah SWT dan mengharapkan keredaan dan perlindungan-Nya.

Amalan solat yang berterusan akan membantu kita memperbetul tabiat serta sikap selain menghasilkan kekuatan luar biasa dalam diri untuk menghadapi apa sahaja godaan nafsu.   Menentang nafsu untuk mendirikan solat di awal waktu juga sebagai asas teguh bagi kesempurnaan yang diiidamkan.

Puasa adalah salah satu amalan yang boleh dilakukan untuk membantu kita menjinakkan nafsu dan meningkatkan ketakwaan.  Nafsu merupakan musuh batin.  Justeru ia hanya boleh ditewaskan secara batin. Tiga bentuk elemen yang mengarah kepada kejahatan manusia ialah kejahatan nafsu dalam diri, pujukan syaitan yang maknawi dan pengaruh makanan haram.

Mengawal hawa nafsu dengan ilmu

Hawa nafsu mendapat kekuatan daripada makanan yang haram hasil godaan syaitan dan kemudian baharulah terlaksana kejahatan.  Nafsu perut (makanan) sangat berkait dengan nafsu seks dan ia menjadi liar apabila kita makan secara berlebihan walaupun yang halal apatah lagi yang haram. Nafsu akan menjadi buas dan terdorong melakukan kejahatan atas dorongan syaitan.

Nabi Adam a.s dan Siti Hawa a.s juga terjerat dengan tipu daya syaitan menerusi nafsu makan (buah larangan syurga).  Qabil membunuh Habil kerana inginkan wanita cantik.

Ilmu adalah langkah permulaan untuk melawan hawa nafsu.  Dalam konteks ini ilmu agama boleh memandu kita membezakan antara yang hak dan batil.  Ilmu juga membantu kita mengetahui keutamaan dalam beramal.

Apabila ilmu penuh di dada, kita mesti mengamalkan bersungguh-sungguh dan berpegang teguh dengannya serta menyebarkan kepada orang lain. Memetik kata-kata Hamka: Ilmu adalah harta kamu yang kekal.

Para ulama mengajar kita tidak terjebak dengan pengaruh nafsu dengan beberapa saranan.  Kita memperteguh rasa takut kepada Allah SWT,  selalu mengingati seksaan-Nya di akhirat. Seterusnya, meninggalkan sebab yang boleh menjerumuskan diri  kepada hasutan hawa nafsu, berzikir, membaca al-Quran, menghadiri majlis ilmu, berpuasa dan menjarakkan rakan yang tidak baik.

Semoga kita bijak mengawal hawa nafsu dan kekal di jalan Allah SWT.