Jika tidak mampu menjadi garam, jangan jadi seperti langau

dreamstime_s_175713455
Jika tidak mampu menjadi garam, jangan jadi seperti langau © Annashepulova | Dreamstime.com

‘Jika tidak mampu menjadi garam, jangan jadi seperti langau’ – artikel ini akan melihat kepada makna perumpamaan tersebut. Apakah peranan garam dalam hal ini? Sebelum terciptanya peti ais, orang-orang pada zaman dahulu melumurkan garam pada badan ikan bagi memastikan ikan tersebut boleh disimpan buat masa yang lama dan tidak busuk.

Perkara tersebut tetap diamalkan sehingga hari ini meskipun sudah tercipta pelbagai variasi peti ais yang canggih. Malahan, ikan yang dilumur garam memiliki rasa yang unik dan sedap selepas digoreng, dan menjadi penambah selera ketika memakan nasi bersama lauk-pauk yang lain. Ia juga memiliki nama yang tersendiri bergantung kepada jenisnya, seperti ikan masin dan ikan perkasam.

Garam dan manfaat

Daripada sudut alaminya, garam mampu menyingkirkan kehadiran air yang tersisi di dalam badan ikan dan menghalangkan pertumbuhan mikro-organisma pada ikan seperti kulat dan bakteria. Hal inilah yang menyebabkan ikan kekal segar dan tidak busuk, walaupun disimpan dalam masa yang lama dan tidak disimpan di dalam peti ais.

Kehadiran garam yang mampu membuatkan ikan bertahan lama dan tidak busuk. Malah, ia mampu menambahkan selera dan kesedapannya selepas digoreng. Ini sudah cukup membuktikan bahawa penemuan garam telah memberikan kenikmatan kepada umat manusia, terutamanya berkaitan hal selera dan permakanan. Ia mampu mengekalkan kesegaran, menambah rencah dan rasa makanan serta pelbagai lagi manfaatnya.

Hakikatnya, perkara ini mengingatkan manusia untuk menjadi seseorang yang bermanfaat kepada manusia lain, sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW daripada Jabir bin Abdullah r.a:

“…sebaik-baik manusia adalah yang bermanfaat kepada kepada manusia lain.”

(Hadis riwayat At-Tabrani)

Malah, dalam satu hadis yang juga diriwayatkan At-Tabrani, Rasulullah SAW memberitahu bahawa menjadi manusia yang bermanfaat kepada manusia lain lebih disukai Baginda daripada beriktikaf di masjid Madinah selama sebulan.

Secara logiknya, semua manusia menyukai seseorang yang sentiasa memberi manfaat kepada manusia lain. Seperti menolong mengeluarkan dirinya dari kesukaran, membantunya menjalani kehidupan, bersedekah dan lain-lain lagi. Hanya manusia yang memiliki hasad dengki dan sifat mazmumah sahaja yang membenci manusia sebegini.

Malahan, kehadiran manusia yang sentiasa memberi manfaat kepada manusia lain ini sentiasa dinanti. Pemergiannya pula dirindui. Hadirnya menggembirakan hati, pulangnya menghibakan hati.

Jangan jadi seperti langau

Berbeza halnya dengan manusia yang bersifat seperti langau, yang hadirnya terbang menyebalkan dek bunyi bising yang bingit di telinga. Sudahlah datang dengan bunyi bingit, menghurung pula makanan yang tersedia seperti ikan.

Malahan, andai tidak dijaga ikan itu, langau akan bertelur atau menyebarkan virusnya di makanan tersebut. Kesannya, ikan tidak dapat bertahan lama dan cepat menjadi busuk. Bukan itu sahaja, manusia yang memakan ikan tersebut akan ditimpa cirit-birit dan sakit perut kerana telah memakan ikan yang dicemari langau.

Perkara ini cukup sama dengan manusia yang sentiasa memberi musibah dan mudarat kepada manusia lain, seperti pencuri, pembunuh, perogol, penipu dan lain-lain lagi. Hadirnya hanya memberi musibah dan mudarat kepada manusia lain, dan bukannya manfaat dan bantuan yang mampu meringankan beban manusia yang lainnya. Malah, kehadirannya dibenci manusia lain, dan pemergiannya dirai dengan bersorak gembira.

Oleh itu, seseorang manusia itu sentiasa mempunyai dua pilihan dalam kehidupannya. Adakah dirinya hidup dengan sentiasa melakar senyuman manusia lain dek manfaatnya, umpama sinaran garam yang berkilauan. Atau mencakar hati manusia lain sehingga berdarah dek mudaratnya, sehitam langau yang busuk lagi kotor.

Ingatlah, jika tidak mampu menjadi garam, jangan jadi seperti langau. Jika tak mampu menjadi garam yang menyedapkan ikan, jangan sesekali menjadi langau yang membusukkannya.