Jodoh anda pemberian Allah SWT

Kepercayaan Hanita Hassan 30-Jun-2020
Selamat Pengantin Baru! © Nazriyaakub | Dreamstime.com

Setiap makhluk di dunia ini dijadikan berpasang-pasangan untuk saling melengkapi antara satu sama lain.  Pasangan adalah teman hidup merangkap sahabat paling rapat selepas anda mendirikan rumah tangga.

Kehidupan akan berasa lebih tenang apabila anda dapat mencari teman hidup yang sesuai dan memahami anda.  Setiap hari, anda berasa lebih bersemangat untuk bekerja dan melakukan amal ibadat kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT: “Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan pasangan semuanya, baik dari apa yang ditumbuhkan oleh bumi dan dari diri mereka mahupun dari apa-apa yang mereka tidak ketahui.” (Surah Yasin, ayat 36)

Islam menggariskan panduan dalam pemilihan jodoh, baik wanita mahupun lelaki. Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya:  “Seorang wanita itu dinikahi kerana empat perkara, hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya.  Maka hendaklah kamu mengutamakan yang beragama nescaya kamu berbahagia.”  (Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim)

Bagi golongan wanita, Rasulullah SAW telah mengenakan dua syarat pilihan iaitu hanya menerima lelaki yang beragama dan berakhlak sebagai suami.  Rasulullah SAW bersabda:  “Apabila orang yang engkau reda agama dan akhlaknya datang meminang, maka kahwinkanlah.  Jika tidak kamu lakukan demikian akan berlaku fitnah di bumi dan kerosakan yang besar.” (HR at-Tirmidzi)

Nabi SAW menggalakkan bakal suami supaya mengutamakan wanita soleha (beragama) serta dapat melahirkan zuriat di samping memiliki ciri-ciri lainnya.  Pemilihan jodoh yang baik penting bagi memastikan keluarga yang dibina nanti adalah keluarga sakinah mawaddah warahmah.

“Janganlah kamu kahwini wanita kerana kecantikan mereka, kerana kemungkinan kecantikan itu akan menghancurkan mereka sendiri.  Dan janganlah kamu kahwini kerana harta mereka, kerana mungkin harta itu menyebabkan  mereka derhaka.  Tetapi kahwinilah mereka atas dasar agama.  Sesungguhnya hamba yang berkulit hitam, tetapi beragama adalah lebih baik.”  (HR Ibnu Majah)

Hari ini, ramai kalangan wanita dan lelaki yang sudah menjangkau usia tetapi masih membujang.  Apabila ditanya, sering jawapannya tidak berjodoh atau belum sampai jodohnya lagi. Dua penyebab mengapa jodoh anda lambat.  Pertama kemungkinan besar jodoh anda berat kerana Allah SWT memberatkan jodoh anda dan kedua barangkali disebabkan sikap anda sendiri yang terlalu memilih.

Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (2017) menerusi Laporan Penemuan Utama Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima (2014) mendapati faktor kewangan (56%), ketiadaan calon yang sesuai (18.4%) dan tumpuan terhadap kemajuan kerjaya (9.4%) sebagai halangan perkahwinan bagi golongan lelaki.

Bagi wanita, masalahnya  lebih cenderung kepada kesukaran  mencari calon yang sesuai untuk berkahwin (35.7%), masalah kewangan yang dihadapi (26%) dan tumpuan terhadap kemajuan kerjaya (18.1%). Dalam hal ini, masalah kewangan dilihat sebagai penghalang utama kepada lelaki untuk mendirikan rumahtangga manakala ketiadaan calon yang sesuai pula dilihat sebagai penghalang utama bagi wanita.

Lambat atau cepat jodoh anda, semuanya adalah urusan Allah SWT.  Walau bagaimanapun sebagai manusia biasa, anda hendaklah terus berusaha, berdoa dan bertawakal sekiranya mahukan pasangan yang sempurna.  Pemilihan jodoh yang baik dapat memandu anda ke jalan yang benar untuk mencapai kebahagiaan hakiki pada masa hadapan.

Jodoh merupakan salah satu rezeki atau pemberian Allah SWT.  Justeru jangan sekali-kali anda berputus asa dengan rahmat Allah.