Jom didik Keluarga Syurgawi!

Keluarga 06 Mac 2021 Siti Nur Baiin Che Harun
Siti Nur Baiin Che Harun
Jom didik Keluarga Syurgawi!
Jom didik Keluarga Syurgawi! © Odua | Dreamstime.com

Keluarga Syurgawi merupakan sebuah institusi kekeluargaan yang selalu berusaha mencari mardhatillah atau keredaan Allah Taala. Ini adalah dengan mengejar ukhrawi, melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah.

Bagaimana sesebuah keluarga ingin menjadi keluarga Syurgawi? Setiap hamba Allah SWT yang berkeluarga mendambakan sebuah keluarga syurgawi. Antara ciri-ciri keluarga syurgawi adalah seperti berikut:

Keluarga syurgawi yang menjaga solat

Biasanya, dalam melahirkan sebuah keluarga syurgawi, kita perlu berusaha menjaga dan memperbaiki kualiti solat. Bukan itu sahaja, mereka seperti tidak pernah puas untuk melakukan ibadat.

Ahli keluarga syurgawi ini akan sentiasa rindu untuk beramal soleh. Mereka akan menyemak bacaan solat. Contohnya, mereka akan saling menyemak bacaan dalam solat, memperbetulkan rukun-rukun solat, syarat sah atau perkara yang boleh membatalkan solat.

Keluarga syurgawi yang suka berpuasa

Keluarga syurgawi ini akan menyahut segala perintah Allah Taala dengan hati yang rela. Selain berpuasa di bulan Ramadan, mereka selalu mencari ruang dan peluang untuk berpuasa sunat Isnin Khamis dan puasa-puasa sunat yang lain.

Dengan berpuasa, jiwa kita akan terdidik, mampu menjadi orang yang sabar dan muhasabah diri. Hikmah berpuasa juga akan mendidik jiwa kita supaya jadi orang yang lebih bersyukur dengan melihat orang yang lebih susah di sekeliling kita.

Selain menguatkan jiwa, berpuasa juga mamou membebaskan cinta kepada dunia.

Keluarga syurgawi mempunyai akhlak nabawi

Keluarga syurgawi akan berusaha untuk menghidupkan amalan sunnah di rumah. Jika kita lihat ramai tokoh-tokoh Islam yang mengamalkan akhlak nabawi.

Bapa sebagai ketua keluarga perlu memberikan bimbingan kepada ahli keluarga untuk mengamalkan sunnah-sunnah Rasulullah SAW. Akhlak nabawi ialah dengan menjadikan Rasulullah sebagai contoh teladan.

Contohnya bermula dari mempunyai budi pekerti yang luhur, jujur, dan mempunyai ketinggian peribadi.

Keluarga syurgawi suka kepada ilmu

Keluarga syurgawi ialah keluarga yang cintakan ilmu. Mereka suka mencari majlis ilmu untuk selalu menambah ilmu pengetahuan. Mereka tidak suka membuang masa dengan sia-sia.

Orang yang berilmu dan mengamalkannya biasanya tidak sombong dan bongkak sesame makhluk apatah lagi dengan Pencipta. Mereka sentiasa rendah diri dengan ilmu yang ada.

Ahli keluarga syurgawi juga adalah mereka yang suka menghargai dan tidak merendahkan orang lain.

Keluarga syurgawi menjaga sumber rezeki yang halal

Keluarga syurgawi sangat mementingkan sumber rezeki dan harta yang halal. Mereka menunaikan hak harta dan menjaga ia sebagai amanah Allah SWT. Mereka tahu bagaimana untuk mereka membelanjakannya terutama menjalankan amanah yang wajib.

Contohnya memberi nafkah kepada tanggungan seperti ibu bapa, isteri dan anak-anak. Secara keseluruhannya, untuk menghidupkan keluarga syurgawi, marilah kita renung hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:

 “Aku tinggalkan dua perkara iaitu Al-Quran dan Sunnah, jika kamu berpegang teguh kepada keduanya, nescaya hidup kamu tidak akan sesat buat selamanya yakni Kitabullah dan SunnahKu”.