Jom ubah kedudukan televisyen di rumah!

Keluarga Siti Nur Baiin Che Harun
Terkini oleh Siti Nur Baiin Che Harun
Jom ubah kedudukan televisyen di rumah!
Jom ubah kedudukan televisyen di rumah! © Faiz Zaki | Dreamstime.com

Slogan ‘Rumahku Syurgaku’ seringkali digunakan dalam mewujudkan dan mencorakkan rumah tangga Islam. Ia dibina atas rasa taqwa yang kukuh kepada Allah SWT.

Antara usaha untuk menjadikan rumahku syurgaku ialah menjauhi dosa dan maksiat, terangi dan hiasi rumah dengan amal ibadah dan menghidupkan roh Al-Quran.

Ubah kedudukan televisyen di rumah

Pada zaman ini, jarang sekali rumah yang tidak mempunyai televisyen. Kebiasaan dan kebanyakan rumah, kedudukan televisyen akan diletakkan di ruang tengah atau ruang tamu rumah.

Isu mempunyai televisyen tidaklah menjadi tajuk kontroversi. Akan tetapi televisyen berkait rapat dengan hiburan. Terdapat beberapa pendapat dari orang yang alim, juga kerap dipesan oleh penceramah-penceramah dalam kuliah.

Pendapat ini adalah mengenai kedudukan televisyen di rumah mestilah tidak menjadi ‘penghulu’ dan keutamaan kepada penghuni rumah. Ini bermaksud, televisyen tidak menjadi entiti yang ‘disembah’ atau diutamakan di dalam rumah.

Jangan letakkan televisyen di ruang yang utama! Setiap rumah boleh cuba praktikkan cara ini. Cuba alihkan kedudukan televisyen ke ruang yang lebih tersorok dan tidak menjadi entiti ‘sembahan’ dalam rumah.

Bentuk dan susun ‘syurga’ kita di rumah

Penceramah bebas Ustazah Asma’ Harun ada berkongsikan mengenai pengutamaan dalam mewujudkan ruang solat di rumah. Untuk melihat siapa isi kandungan sesebuah rumah itu, kita boleh melihat dengan apa yang dia utamakan di rumahnya.

Hal ini nampak remeh, tapi kesan dari aura yang ditanam dirumah mempengaruhi akhlak dan kelakuan anak-anak dan keluarga. Ternyata ketika membuat ziarah mahabbah ke kediaman ustazah Asma’ Harun, beliau mempraktikkan apa yang dikongsikan dalam kuliahnya.

Ruang utama yang dihias adalah ruang solat dan ruang mengaji Al-Quran. Beliau ada mengingatkan, kitalah yang berkuasa untuk membentuk, menghias dan menyusun ‘syurga’ kita. Tidak kira bagaimana keadaan sekalipun design rumah kita.

Gaya dan budaya Islam sesebuah rumah bukan hanya pada sebutan dibibir, ia perlu kepada praktikal. Ubah dan amal budaya Islam yang sebetulnya dan lihat perubahannya.

Pengisian rohani dan kondisi rumah

Perubahan ini nampak mudah tapi kesannya sangat besar. Ia sangat memberikan impak yang teramat seni kepada spiritual ahli rumah. Ustaz Azhar Idrus juga ada menyebut di dalam kuliahnya, “kalau nak anak-anak jadi mangkuk, susun mangkuk dalam almari, kalau nak anak-anak jadi ahli kitab, susun kitab dalam almari.”

Walaupun peringatan itu dilontarkan secara bersahaja, mesej yang disampaikan itu sangatlah mendalam. Secara kesimpulan, aura dan pengaruh televisyen memberi impak yang sangat besar kepada jiwa anak-anak yang sedang membesar.

Kesan ini tidak dapat dilihat dalam masa yang singkat. Pengisian rohani anak-anak sangat bergantung kepada kondisi rumah. Jadi, jom sama-sama rasai perubahan dari mengubah kedudukan televisyen di rumah.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.