Juadah berbuka puasa biar berpada!

Makanan Zalika Adam
Zalika Adam
Juadah berbuka puasa biar berpada!
Juadah berbuka puasa biar berpada! © Rushour | Dreamstime.com

Puasa melatih kita menahan diri daripada lapar dan dahaga. Apabila tiba saat berbuka puasa kita diuji dengan pelbagai juadah yang lazat, menarik perhatian kita.

Kadangkala kita lupa, bahawa makanan yang diambil melebihi had yang sepatutnya, sehingga sukar untuk mengerjakan solat maghrib.

Ramadan dan amalan makanan ketika berbuka

Bazar Ramadan banyak menjual menu yang pelbagai, menarik perhatian kita. Ada menu yang sudah lama kita tidak menjamunya sepanjang bulan Ramadan. Apabila berjumpa dengan menu-menu tersebut ingin membelinya dengan kuantiti yang banyak.

Namun, perlulah kita bersederhana dalam membeli dan menyediakan juadah berbuka puasa. Ada pelbagai makanan seperti nasi, bubur lambuk, mee kari, mertabak, ayam panggang. Kuih muih seperti koci, tepung pelita, kuih cara dan juga minuman pelbagai rasa dan warna seperti air katira, air tebu, air kelapa, air mangga dan milo.

Seolah-olah menjadi adat dan amalan sebahagian daripada kita menyediakan juadah berbuka puasa sehingga meja dipenuhi dengan pelbagai makanan. Akhirnya makanan berlebihan dan dibuang begitu sahaja. Makanan tersebut juga boleh disimpan di dalam peti sejuk dan dipanaskan ketika bersahur.

Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”

(Surah al-Israa, ayat 27)

Juadah berbuka puasa biar berpada!

Masih ada saudara kita yang kekurangan makanan seperti pelarian di Syria dan Palastine. Pelbagai sumbagan perlulah dihulurkan agar sama-sama kita boleh menikmati juadah berbuka puasa.

Adalah baik sekiranya makanan yang berlebihan dipanjangkan sedekahnya kepada jiran tetangga atau disedekahkan di pusat-pusat Tahfiz dan sekolah anak-anak yatim agar tidak membazir. Bersedah di bulan Ramadan pahalanya adalah berlipat kali ganda. Firman Allah SWT, maksudnya:

“Berimanlah kepada Allah dan RasulNya, dan belanjakanlah pada jalan Allah sebahagian daripada harta kurniaanNya yang dijadikannya kamu sebagai penguasaNya. Maka orang-orang yang beriman antara kamu dan membelanjakan sebahagian daripada harta itu pada jalan Allah, mereka beroleh pahala yang besar.”

(Surah al-Hadid, ayat 7)

Oleh itu, kita dikehendaki untuk mengamalkan sikap bersederhana dalam berbelanja dan sentiasa mensyukuri nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT. Kita digalakkan untuk berdoa agar mendapat nikmat yang berkekalan dan petunjuk serta hidayah daripada-Nya.

Justeru, bersederhana dan berpada-padalah ketika menyediakan juadah berbuka puasa.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.