Juadah moreh bulan Ramadan – nikmati keenakan Popia Ayam Ubi Sengkuang

Makanan Siti Nur Baiin Che Harun
Siti Nur Baiin Che Harun
Juadah moreh bulan Ramadan - nikmati keenakan Popia Ayam Ubi Sengkuang
Juadah moreh bulan Ramadan - nikmati keenakan Popia Ayam Ubi Sengkuang © Rasa Malaysia

Artikel ini akan berkongsikan tentang resepi dan cara penyediaan salah satu makanan tradisional negeri Kelantan yang boleh dimakan bila-bila masa – Popia Ayam Ubi Sengkuang. Ia merupakan salah satu hidangan moreh di bulan Ramadan.

Nikmati keenakan Popia Ayam Ubi Sengkuang

Popia Ayam Popia Ubi Sengkuang juga boleh dijadikan hidangan buat tetamu yang hadir ke rumah atau untuk minum petang. Ubi sengkuang mengandungi beberapa khasiat seperti Vitamin C dan sejumlah kecil kumpulan Vitamin B-kompleks seperti folat, riboflavin, pyridoxine, asid pantothenic dan thiamin.

Selain itu, ia turut memiliki sejumlah mineral penting seperti magnesium, tembaga, besi dan mangan – salah satu jenis mineral yang penting untuk tubuh manusia.

Sengkuang amat rendah kalori dan dikatakan mengandungi kira-kira 35 kalori bagi 100 gram ubi. Namun begitu, ia memiliki kandungan tinggi fito zat yang termasuk serat pemakanan dan antioksidan serta beberapa jumlah kecil mineral dan vitamin.

Kebaikan Ubi Sengkuang dan Lobak Merah

Antara khasiat dan kebaikan ubi sengkuang ialah:

  1. Merangsang pencernaan yang baik
  2. Mencerahkan kulit
  3. Merendahkan kolestrol
  4. Mengekalkan gula dalam darah
  5. Menguatkan sistem imun
  6. Mengekalkan metabolisma dalam badan
  7. Meransang kehamilan sihat
  8. Mengurangkan berat badan
  9. Sumber serat pemakanan mudah larut

Manakala khasiat lobak merah pula sudah diketahui umum, seperti:

  1. Baik untuk penjagaan mata
  2. Dapat mencegah kanser
  3. Mencantikkan kulit
  4. Menguruskan badan
  5. Baik untuk perokok
  6. Mencegah kerosakan gigi

Bahan-bahan Popia Ayam Ubi Sengkuang

Berikut ialah bahan-bahan untuk menyediakan Popia Ayam Ubi Sengkuang:

  • Satu pek kulit popia
  • Sebiji ubi sengkuang – diparut panjang
  • Sebatang lobak merah – diparut panjang
  • 200 gram dada ayam – dipotong/dicincang halus
  • 20 biji lada hitam – ditumbuk lumat
  • 4-5 ulas bawang putih – ditumbuk halus
  • 2 sudu kecil minyak masak
  • Secubit garam

Cara penyediaan inti Popia Ayam Ubi Sengkuang

Berikut ialah cara penyediaan Popia Ayam Ubi Sengkuang:

  • Tumiskan bawang putih yang telah ditumbuk halus bersama lada hitam sehingga garing dan naik bau wangi.
  • Setelah itu, masukkan isi ayam yang telah dicincang dan tumis sehingga masak. Masukkan sedikit garam halus. Tidak perlu terlalu lama kerana kita akan goreng pula popia ini.
  • Kemudian matikan api dapur untuk mengelakkan sayur menjadi layu.
  • Masukkan ubi sengkuang dan lobak merah yang diparut tadi. Gaul sehingga rata.
  • Bungkus inti, balut dalam kulit popia.
  • Kemudian goreng dengan api perlahan, angkat dan tos.

Tips: Jangan basuh ubi sengkuang dan lobak merah selepas diparut untuk mengelakkan lebihan air. Basuh dahulu sebelum parut. Jika tidak, kulit popia akan basah dan mudah terkoyak.

Resepi pencicah

Bagi resepi pencicah untuk dicicah dengan popia ini boleh disediakan sendiri. Bahan-bahannya ialah:

  1. 10 biji cili kering
  2. 2 keping gula melaka (manisan)
  3. 2 ulas bawang putih
  4. Garam secukup rasa
  5. Daun ketumbar
  • Semua bahan ini boleh dikisar sekali kecuali daun ketumbar.
  • Tumis bawang putih sehingga wangi dan garing kemudian masukkan cili kering.
  • Masukkan gula Melaka. Masak sehingga mendidih dan kuah menjadi pekat berkilat. Tambah sedikit air jika terlalu pekat.
  • Masukkan garam secukup rasa.
  • Sejukkan terlebih dahulu pencicah kemudian masukkan hirisan daun ketumbar dan dikacau rata.
  • Popia Ayam Ubi Sengkuang sedia dimakan dengan pencicah dan dihidang bersama teh o panas.