Pelbagai juadah tradisi Hari Raya

Juadah tradisi Aidilfitri © Sinseeho | Dreamstime.com

Negara Malaysia tercinta ini sangat kaya dengan budaya daripada masyarakat berbilang kaum. Pakaian, kebudayaan dan kepercayaan, semuanya memang mempunyai keunikan yang tersendiri. Makanan juga adalah salah satu perkara unik dalam tradisi dan budaya negara Malaysia.

Sambutan hari raya yang bakal tiba ini pastinya ditunggu-tungu oleh semua, terutamanya masyarakat Melayu dan orang Islam. Walaupun sambutan hari raya kali ini berlainan, namun tradisi menghasilkan juadah raya tradisi pastinya akan diteruskan.

Menariknya di Malaysia, setiap negeri mempunyai juadah hari raya yang unik dan tersendiri. Berikut adalah antara juadah tradisi popular yang sentiasa mengiringi dan mewarnai hari raya di Malaysia.

Lemang – Tidak sah jika sambutan hari raya ini jika tiada hidangan lemang. Lemang diperbuat menggunakan beras pulut serta santan yang dimasukkan ke dalam ruas buluh. Buluh tersebut perlu dilapik dengan daun pisang terlebih dahulu. Kebelakangan ini, lemang periuk kera pula yang makin mendapat sambutan. Lemang memang sudah terkenal sejak zaman berzaman lagi dan menjadi juadah wajib hari raya bagi setiap keluarga.

Ketupat – Ada beberapa jenis ketupat seperti ketupat nasi dan juga ketupat daun palas. Ketupat nasi dihasilkan dari beras yang direbus dalam anyaman daun kelapa. Ketupat daun palas pula menggunakan pulut dan lebih popular di sebelah utara tanah air. Namun pada masa ini, ramai yang lebih gemar menghidangkan ketupat segera atau nasi himpit kerana lebih mudah untuk menyediakannya.

Rendang – Menjadi pelengkap hidangan lemang dan ketupat. Rendang pedas dan rendang tok sememangnya enak dimakan bersama lemang dan ketupat. Rendang juga sudah semakin dikenali di seluruh pelusuk dunia.

Serunding – Selain rendang, serunding juga turut menjadi pilihan untuk dimakan bersama ketupat dan lemang. Serunding diperbuat menggunakan rempah serta pilihan ayam, daging atau ikan dan dimasak sehingga kering. Proses memasak serunding ini mengambil masa yang agak lama.

Kuah kacang – Walaupun kuah kacang ini boleh didapati setiap hari, namun ianya lebih enak dinikmati pada hari raya bersama ketupat dan nasi himpit.

Selain itu mengikut kelaziman dan tradisi hari raya di negeri dan tempat masing-masing, ada yang turut menyediakan juadah seperti laksa, mi dan mihun serta nasi dagang  untuk dijamu kepada tetamu di hari raya. Tidak ketinggalan juga kuih-muih beraneka rupa yang dimakan selepas menjamu selera.

Raya tahun ini janganlah hentikan tradisi menghidangkan juadah hari raya ini walaupun sambutan hari raya dan ziarah dihadkan. Keunikan tersendiri makanan tradisi ini meyerlahkan lagi kekayaan budaya masyarakat Malaysia. Keunikan tradisi ini haruslah diwariskan kepada generasi seterusnya agar ia kekal terpelihara.

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!