Juadah Tradisi Yang Wajib Ada Pada Pagi Syawal

Memang tidak dapat dinafikan, makanan merupakan antara elemen penting dalam meraikan Aidilfitri.

Tanpa adanya pelbagai juadah yang enak dan membuka selera, 1 Syawal bagaikan suram dan kurang meriahnya.

Sebagai rakyat Malaysia, kita bertuah kerana mempunyai pelbagai juadah tradisi yang resipinya diperturunkan secara turun temurun daripada nenek moyang kita dahulu, kepada ibu kita, dan seharusnya diwarisi oleh anak-anak kita nanti.

Meskipun adanya pelbagai masakan moden pada hari ini, namun juadah tradisi tetap menjadi pilihan dan dinikmati pada setiap kali raya.

Berikut kami senaraikan 5 juadah tradisi yang wajib ada pada setiap pagi 1 Syawal, atau hari raya anda akan menjadi tidak lengkap.

 

1. Ketupat

Sudah sebati dengan sambutan Aidilfitri, ketupat merupakan juadah wajib pada setiap kali raya Aidilfitri dan Aidiladha. Ia seakan-akan telah menjadi satu kemestian bagi setiap daripada kita untuk menikmati ketupat pada pagi raya. Ketupat merupakan sejenis makanan yang menggunakan satu bahan sahaja untuk memasaknya, iaitu beras atau beras pulut. Ia diisi ke dalam daun kelapa muda atau daun palas yang dianyam, dan kemudiannya direbus untuk memasaknya. Ketupat yang dianyam berbentuk segi empat kebiasannya menggunakan daun kelapa, manakala ketupat daun palas pula kebiasannya dianyam berbentuk segi tiga. Ia sering dimakan bersama dengan rendang, serunding, kuah lodeh atau kuah kacang. Apa yang pasti, tidak semua orang pandai menganyam ketupat! Seni menganyam itu perlu dipelajari dan diperturunkan kepada generasi muda agar ia tidak hilang ditelan zaman.

 

2. Lemang

Meskipun agak sama rasanya dengan ketupat pulut, namun lemang mempunyai keunikannnya yang tersendiri. Menggunakan beras pulut yang diisi di dalam buluh, selain santan, garam dan daun pisang, memasak lemang adalah lebih rumit dan memakan masa. Ini kerana, buluh tersebut perlu disusun di tepi bara api, menggunakan teknik dan cara yang betul, dan proses memasaknya boleh mencecah sehingga setengah hari. Ia sering dimakan bersama dengan rendang, serunding, ayam masak merah, kuah kacang dan lodeh. Selain lemang pulut biasa, ada juga yang memasak lemang pulut hitam dan lemang jagung.

 

3. Rendang

Rendang kebiasaannya dijadikan hidangan sampingan untuk dicicah bersama dengan lemang, ketupat dan nasi himpit. Ia boleh dimasak dengan menggunakan pelbagai bahan utama termasuk ayam, daging, kambing, itik, hati, paru atau limpa. Ada yang lebih gemar memasak rendang basah, dan ada juga yang gemar akan rendang kering tidak berkuah. Dimasak dengan menggunakan rempah-ratus yang berlebihan, rendang adalah sejenis masakan yang boleh disimpan lama dan tidak mudah basi. Di Malaysia, terdapat pelbagai versi rendang mengikut negeri dan daerah tertentu. Antaranya, ‘rendang tok’ di Perak, ‘rendang ayam lengkuas’ di Sabah, ‘rendang hati’ dari Johor, ‘rendang minang’ dari Negeri Sembilan dan ‘rendang daging hitam’ dari Srawak.

 

4. Serunding

Serunding merupakan sejenis masakan yang diperbuat menggunakan rempah-ratus dan dimasak sehingga kering dan kadangkala berminyak agar ia tahan lama. Kaedah memasak serunding adalah dengan mengacau tanpa henti sehingga ia betul-betul kering. Proses ini boleh mengambil masa sehingga empat jam dan memerlukan teknik serta sukatan bahan yang tepat. Serunding kebiasannya dicicah bersama dengan lemang, ketupat atau nasi himpit. Antara bahan utama yang boleh dijadikan serunding adalah ayam, daging, ikan, udang dan ikan bilis.

 

5. Nasi Himpit

Nasi himpit merupakan juadah tradisi yang diperbuat daripada beras dan sering dimakan bersama kuah kacang, soto, sambal hitam, daging, ayam atau ikan. Ia digelar nasi himpit kerana nasi tersebut ditekan atau dilenyek di dalam bekas atau plastik sehingga membentuk ketulan besar. Pada zaman dahulu, ia dibuat secara tradisional dengan nasi ditanak lembut dan kemudian diletakkan di dalam bekas sebelum ditindih dengan batu atau besi berat agar tekstur nasi himpit itu pejal namun lembut. Namun, pada masa ini, nasi himpit boleh disediakan dengan segera hanya dengan menggunakan plastik sebelum ia direbus dan dipotong untuk dihidangkan.

Jadi, yang mana satu yang menjadi kegemaran anda?

 

Foto: Najib Ninaba, Halims76, Hasmidah Mohd Nor, Mohd Shafizadzhar, Veronica Tedjasukmana & Zol M (Flickr)

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!

Sebagai rakyat Malaysia, kita bertuah kerana mempunyai pelbagai juadah tradisi yang mana resipinya diperturunkan secara turun temurun daripada nenek moyang kita dahulu, kepada ibu kita, dan seharusnya diwarisi oleh anak-anak kita nanti.