Juarai Super Bintang Bersama Bintang, Shuk Mahu Tunai Umrah

Tuah kali ini benar-benar menyebelahi pelawak, penyampai radio dan pengacara Shuk, apabila dia dinobatkan sebagai juara program Super Bintang Bersama Bintang (BBB) musim yang kedua.

Menurut Shuk, ini adalah kali pertama dia merasai pengalaman bergelar seorang juara selepas sering kali tewas setiap kali menyertai pertandingan program realiti.

“Alhamdulillah segala penat lelah saya selama ini akhirnya terbayar dengan kemenangan ini. Lama saya nantikan saat yang sebegini. Saya terlampau gembira dengan kemenangan ini,” ujarnya sewaktu ditemui ketika sidang media.

Kemenangan Shuk sebagai juara melayakkan dia membawa pulang wang tunai berjumlah RM100,000. Ditanya apa yang mahu dilakukan dnegan wang kemenangan itu, kata Shuk dia mahu menunaikan umrah.

“Sebenarnya sudah lama saya menyimpan hajat untuk menunaikan ibadah umrah. Tetapi sebelum ini saya terlampau sibuk. Inshaalah saya akan guna duit kemenangan ini untuk menunaikan umrah”, kongsinya.

Pada malam akhir BBB, Shuk mempersembahkan sketsa parodi drama popular Nur 2 bergandingan dengan bintang undangan iaitu Jihan Muse dan juga Azhan Rani. Gandingan mereka bertiga nyata berjaya mencuri perhatian menonton dan juri tetap sehingga mampu mengalahkan pesaing terdekatnya iaitu Achey yang menduduki tempat kedua.

Tahniah SalamToday ucapkan kepada Shuk dan semoga hajat Shuk untuk pergi ke tanah suci mengerjakan umrah akan terlaksana dalam waktu terdekat.

 

Foto : Instagram Shuk