Judika Teruja dan Berdebar

Judika, penyanyi lelaki popular Indonesia mengakui beliau cukup teruja untuk mengadakan persembahan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 19 dan 20 Oktober hadapan. Biarpun begitu, beliau juga tidak berselindung yang beliau juga sebenarnya berdebar-debar.

“Apabila ditawarkan untuk mengadakan persembahan di DFP, saya memang berasa teruja kerana belum pernah beraksi di pentas itu. Bagaimanapun, selepas saya dapat tahu pentas ini bukan calang-calang, saya mula berasa sedikit berdebar. Ini kerana saya tidak pernah lagi terlibat dengan konsert yang diiiringi oleh orkestra penuh,” ujar Judika ketika ditemui baru-baru ini.

Jelas Judika lagi, beliau berharap konsert yang akan dipimpin oleh Ahmad Muriz Che Rose itu nanti akan berjalan lancar dan beliau boleh memberi persembahan terbaik kepada peminat-peminat yang hadir.

“Saya masih belum berkesempatan untuk berbincang dengan Ahmad Muriz tentang susunan muzik. Tetapi buat masa ini, Ahmad Muriz sudah bersetuju dengan seleksi lagu-lagu yang ingin saya persembahkan. Saya berharap persembahan itu nanti akan berjalan lancar. Saya sendiri tidak sabar untuk mengetahui bagaimana vokal saya yang berentak rock ini disatukan dengan muzik orkestra,” ujar Judika lagi.

Mengulas tentang pemilihannya sebagai artis lelaki Indonesia yang pertama dapat menembusi DFP, Judika sekali lagi meluahkan perasaan gembiranya.

“Sudah pasti saya bangga apabila menjadi pilihan DFP. Saya anggap peluang yang datang ini sebagai satu lagi kejayaan yang akan menjadi sejarah dalam perjalanan seni saya. Memang saya tidak begitu selesa dengan muzik orkestra, tetapi ini adalah cabaran yang perlu saya sahut. Sekali lagi, saya mengharapkan konsert bersama DFP ini akan berjalan lancar dan peminat-peminat yang hadir akan terhibur,” ujar Judika yang juga akan berduet dengan Jaclyn Victor pada konsert itu nanti.

Konsert solo Judika dibawakan oleh DFP dan Kelab Sukan Dan Rekreasi PETRONAS (KSRP). Peminat yang mahu mendapatkan tiket boleh membelinya di kaunter Box Office DFP atau melayari laman web www.mpo.com.my.

Tiket-tiket dijual pada harga RM888 (Suite), RM588 (Premium) dan RM388 (A Reserve).