Jujur sikap, pertuturan dan perbuatan

Islam Hanita Hassan
Jujur sikap, pertuturan dan perbuatan
Jujur sikap, pertuturan dan perbuatan © Odua | Dreamstime.com

Jujur sikap, pertuturan dan perbuatan – sikap jujur atau ‘siddiq’ merupakan sikap yang sangat terpuji di sisi Allah SWT.  Ia mesti ada dalam diri setiap daripada mukmin yang beriman sama ada jujur dari segi perkataan, jujur dalam niat dan keinginan, jujur dalam janji, amal dan perbuatan serta jujur dalam keimanan.

Jujur atau siddiq adalah salah satu daripada empat sifat terpuji yang ada dalam diri Rasulullah SAW di samping sifat amanah, tabligh (menyampaikan) dan fatanah (bijaksana).

Jujur sikap, pertuturan dan perbuatan

Sifat ini wajib diteladani oleh umat Islam tidak mengira kedudukan atau pangkat kerana ia tidak terhad kepada golongan pemimpin sahaja sebaliknya kita semua wajib menjadikannya budaya dalam kehidupan.

Sepertimana firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan tidaklah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”

(Surah al-Anbiya, ayat 107)

Betapa tingginya keunggulan Nabi Muhammad SAW sehingga Ummu al-Mukminin Saidatina Aisyah r.a menggambarkan akhlak Baginda seperti al-Quran iaitu sempurna dan suci.  Ini bermakna segala perbuatan, percakapan malah diamnya Rasulullah SAW sebagai panduan hidup generasi seterusnya sehingga hari Kiamat.

Antara akhlak mulia yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW ialah berkata benar dan bersikap jujur dalam pertuturan. Rasulullah SAW juga melarang umatnya daripada menipu dan berkata bohong. Daripada Abdullah Ibn Mas’ud r.a bahawa Baginda bersabda yang bermaksud:

“Jauhilah kalian daripada sikap suka berbohong kerana berbohong akan membawa kepada perbuatan kemaksiatan dan perbuatan kemaksiatan akan membawa ke Neraka.  Jika sekiranya seseorang itu sentiasa berdusta, maka kelak dia akan dicatat di sisi Allah SWT sebagai pendusta.”

(Hadis riwayat al-Bukhari, 6094)

Berbicara maka berdusta, berjanji maka mungkir, diberi amanah maka mengkhianati

Orang yang bersikap tidak jujur atau suka berkata bohong adalah orang yang munafik. Sepertimana hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Tanda-tanda bagi seorang munafik itu ada tiga, jika sekiranya dia berbicara maka dia berdusta, jika sekiranya dia berjanji maka dia mungkir dan jika sekiranya dia diberi amanah maka dia mengkhianatinya.”

(Hadis riwayat al-Bukhari, ayat 33)

Sekiranya seorang ilmuan ditanya dalam satu majlis besar soalan yang dia tidak tahu jawapannya, hendaklah dia juga berkata benar.  Meskipun ungkapan itu amat berat bagi sesetengah orang, namun tindakan mengungkapkan kebenaran itu jauh lebih baik daripada memberi jawapan yang salah.

Ketika Rasulullah SAW diaju soalan mengenai roh, perkara itu tidak dalam pengetahuan Baginda SAW, maka Allah SWT berfirman yang maksudnya:

“Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh.  Katakan:  Roh itu daripada perkara urusan Tuhanku, dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja.”

(Surah al-Isra, ayat 85)

Apabila kita dibohongi, ia amat menyakitkan hati serta menimbulkan perasaan dendam dan begitulah sebaliknya berlaku kepada orang lain sekiranya kita berbohong. Sesungguhnya bersikap jujur itu adalah amat berat bagi sesetengah orang namun berkata benar adalah sebaik-baik sikap.

Justeru dalam semua perkara, termasuk dari segi ilmu agama adalah satu kesalahan yang perlu dihindar daripada melakukan pembohongan. Berkata benar dan jujur walaupun sukar.  Semoga Allah SWT memberi kita kefahaman dan kebaikan memahami dan mengamalkan syariat-Nya dengan sebaik mungkin.