K-Clique Pertaruh ‘Mimpi’ Untuk Peminat Muzik Arus Perdana

Dengar saja perkataan hip hop pastinya kita terbayangkan nama-nama besar arena muzik hip hop tempatan seperti Malique, Joe Flizzow, Altimet, Alif, SonaOne, Caprice dan ramai lagi.

Kini kumpulan hip hop K-Clique yang dianggotai lapan anak muda berasal dari Kota Kinabalu, Sabah cuba mengorak langkah lebih jauh.

Penggemar muzik hip hop mungkin sudah mengenali kumpulan ini memandangkan video lagu-lagu mereka di YouTube mencecah jutaan tontonan.

Dianggotai MK, Noki, Tuju, Somean, KDeaf, FareedPF, Gnello, dan NastyNas, K-Clique sebelum ini bergerak secara ‘underground’ dan antara lagu-lagu mereka yang mendapat sambutan ialah ‘Lane Lain Line’, ‘Sah Tu Satu’, ‘Licik’ dan ‘Warna’.

Bagi meneruskan momentum kerjaya seni mereka dan memperkenalkan nama dan muzik mereka kepada peminat muzik arus perdana tempatan, K-Clique kini muncul dengan single terbaru berjudul ‘Mimpi’ dengan penampilan istimewa rapper dan penerbit tersohor Alif.

‘Mimpi’ merupakan hasil ciptaan Alif bersama sebahagian besar anggota K-Clique sendiri seperti MK, Gnello, Noki, FareedPF, Tuju dan Somean.

Single ini diterbitkan oleh Black Hat Cat Records (BHC), sebuah syarikat rakaman yang ditubuhkan bagi bertujuan memartabatkan genre ‘urban music’ di Malaysia. K-Clique merupakan artis pertama bernaung di bawah BHC.

Single ‘Mimpi’ terbitan Black Hat Cat Records dengan kerjasama Warner Music Malaysia sebagai pengedar sah boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox , Deezer, Joox dan juga Apple Music.

Anda boleh ke pautan :- https://bhc.lnk.to/KCMimpi untuk mendengar sendiri single yang dipertaruhkan ini.

Kredit foto : Warner Music Malaysia & www.facebook.com/kcliquee