Kaedah pelupusan al-Quran rosak, bagaimana caranya?

Al-Quran 22 Mac 2021 Hanita Hassan
Hanita Hassan
Kaedah pelupusan al-Quran rosak, bagaimana caranya?
Kaedah pelupusan al-Quran rosak, bagaimana caranya? © Ali Osman Pekoglu | Dreamstime.com

Al-Quran adalah wahyu Allah SWT untuk memberi petunjuk kepada manusia.  Sebagai umat Islam, adalah menjadai kewajipan kita untuk terus memulihara ayat-ayat al-Quran dengan sebaiknya. Ini termasuklah dari aspek pembuatan, pengendalian, penjualan mahupun kaedah pelupusan al-Quran.

Ia penting supaya pengendalian al-Quran tidak mencemar kemuliaan dan kesuciannya.

Panduan syarak dalam melupuskan al-Quran

Apabila mengemas rumah lama tinggalan allahyarham ibu atau bapa, kita biasanya akan terjumpa dengan simpanan mushaf al-Quran lama yang telah lusuh dan koyak. Begitu juga dengan buku-buku agama, buku doa dan hadis serta keratan-keratan ayat al-Quran dalam kertas dan risalah.

Bagi anak-anak yang faham dan mempunyai sedikit pengetahuan tentang kaedah melupuskannya, mereka biasanya akan membakar dan menanam abu-abu al-Quran di kawasan rumah.

Namun kaedah ini tidak berpandukan syarak. Kerana jika dilakukan di kawasan terbuka, akan ada abu-abu al-Quran yang berterbangan di udara yang tidak dapat dikawal.

Abu al-Quran hendaklah ditanam kawasan tinggi seperti bukit atau gunung atau dibawa ke laut untuk ditenggelamkan supaya tidak dipijak atau bebas laluan manusia.  Sebelum dibakar, kertas-kertas yang mengandungi ayat-ayat al-Quran hendaklah dipotong halus supaya dibakar hangus dan menjadi debu.

Kini platform salinan ayat al-Quran sudah berkembang, bukan hanya dalam bentuk mashaf tetapi turut disalin di atas kaca, kulit, batu dan kertas majalah.  Maka kita memerlukan kaedah pelupusan yang menyeluruh bukan sahaja kepada bahan berbentuk kertas semata-mata.

Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa ke-30 yang bersidang pada 22 Ogos 1992 telah menetapkan kaedah pelupusan yang paling baik adalah dibakar dan ditanam di tempat yang dikawal.

Kaedah pelupusan al-Quran rosak

Bahan buangan atau lebihan yang mengandungi huruf atau ayat-ayat suci al-Quran dilupus secara berasingan daripada bahan-bahan lain serta dilarang menggunanya semula bagi apa-apa tujuan sekalipun.

Bahan yang mengandungi ayat-ayat al-Quran yang dibakar hendak­lah menyeluruh tanpa tertinggal mana-mana bahagian yang tidak terbakar. Bahan-bahan atau debu yang mengandungi ayat-ayat suci al-Quran dikumpul supaya tidak ditiup angin atau bersepah. Ditanam pada tempat yang bersih atau yang tidak dilalui orang atau dibuang ke dalam laut atau sungai yang mengalir airnya.

Kerja-kerja pembakaran juga perlu dipantau oleh pegawai Jabatan Agama atau pihak yang mahu melupuskan bahan-bahan tersebut.  Ia termasuklah al-Quran yang rosak, koyak, yang tidak boleh dibaca, yang bukan Rasm Uthmani, hadis-hadis nabi dan doa-doa yang mengandungi gabungan ayat-ayat suci al-Quran atau nama-nama Allah di dalamnya.

Masyarakat Islam sukar melupuskan al-Quran yang sudah lama dan usang kerana ia bukan perkara yang boleh dibuat main-main.  Meskipun ada kalangan kita yang jarang membaca al-Quran, namun sebagai umat Islam kita amat sensitif apabila ia berkaitan pelupusannya.  Kita sedar bahawa al-Quran adalah kitab suci dan pelupusannya tidak boleh dilakukan sambil lewa.

Kini terdapat banyak masjid dan tempat pelupusan al-Quran yang membantu menyelesaikan masalah umat Islam untuk melakukan kerja-kerja pelupusan.  Biasanya kita akan dikenakan sedikit caj pelupusan. Semoga kita sama-sama memulihara kesucian al-Quran.

Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya, Kami-lah yang menurunkan al-Quran dan pasti Kami (pula) yang memeliharanya.”

(Surah al-Hijr, ayat 9)